Cari @ Amanz

Penghawa dingin sangat diperlukan ketika memandu kereta di Malaysia. Apabila panas ia dipasang bagi memastikan anda tidak berpeluh seperti atlet maraton. Apabila hujan pula penghawa dingin dipasang bagi mengelakkan cermin kenderaan berkabus. Sistem penghawa dingin biasanya digunakan bagi menyejukkan pemandu dan juga penumpang. Tetapi bagi Chevrolet peranti pintar anda juga perlu memerlukan sistem penghawa dinginnya sendiri.

Active-Phone-Cooling-Chervrolet

Model 2016 Chevrolet Impala, Volt, Cruze dan Malibu di Amerika Syarikat kini mempunyai sistem penghawa dingin Active Phone Cooling di bahagian tengah konsol pemandu. Di sini terletak juga sistem pengecasan tanpa wayar terbina. Mereka menyedari peranti menjadi panas apabila dicas secara tanpa wayar. Oleh sebab itu udara sejuk disalurkan ke pengecas tanpa wayar bagi memastikan peranti sentiasa sejuk terutamanya ketika musim panas.

Chevrolet Malaysia hanya menjual model Cruze dan Malibu. Tidak diketahui sama ada fungsi unik ini akan disertakan untuk versi tempatan. Apa yang pasti sistem penyejukan ini pastinya berguna untuk peranti yang menggunakan pemproses Snapdragon 810. Adakah sistem penyejuk peranti diperlukan? Kami hanya membeli pemegang peranti yang dilekapkan kepada gerigi sirip penghawa dingin. Ianya penyelesaian murah yang boleh anda miliki sekarang.

 

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd