Aplikasi gendut (bloatware) adalah realiti yang dihadapi pemilik peranti Android bukan berjenama Nexus. Aplikasi gendut selalunya tidak boleh dibuang dan akan kekal menyebabkan ruang storan peranti menjadi kecil. Di dalam sesetengah kes ia menyebabkan masalah kerentanan seperti yang berlaku kepada aplikasi papan kekunci Samsung beberapa minggu yang lalu. Untuk menyahpasang anda perlu melakukan rooting peranti dan bagi kebanyakan pengguna ini adalah terlalu leceh untuk dilakukan.
Di Shanghai, Samsung dan Oppo akan disaman oleh Suruhanjaya Perlindungan Hak Pengguna Shanghai kerana jumlah aplikasi gendut yang terlalu banyak. Mereka mendapati Samsung Galaxy Note3 N9008S mempunyai 44 aplikasi terpasang dan Oppo Find 7A X9007 pula mempunyai 77 aplikasi terpasang. Suruhanjaya Perlindungan Hak Pengguna Shanghai mahu pengeluar dijual menyenaraikan kesemua aplikasi terpasang pada kotak produk peranti yang dijual. Pada waktu yang sama mereka mahu kesemua pengeluar menyertakan langkah yang boleh diambil pengguna untuk menyahpasang kesemua aplikasi gendut di dalam peranti. Kehadiran terlalu banyak aplikasi terpasang ini tidak pernah diberitahu dan pengguna merasa tertipu kerana ruang storan peranti yang dibeli menjadi lebih kecil dari yang diiklankan.
Kes ini adalah yang pertama dilaporkan di Shanghai. Tahun lalu seorang wanita Shenzen gagal dalam usaha menyaman Apple kerana sebab yang sama. Beliau mendakwa iPhone 5 beliau dipenuhi terlalu banyak aplikasi terpasang yang “mencuri maklumat peribadi beliau”. Kes ini akan didengar semula di dalam mahkamah rayuan tahun ini.
Apakah pendapat anda tentang masalah aplikasi gendut yang tidak boleh dinyahpasang. Kami merasakan apa yang dilakukan oleh Suruhanjaya Perlindungan Hak Pengguna Shanghai ini baik untuk pengguna dan wajar dicontohi. Jika mahu meletakkan banyak aplikasi terpasang pengeluar perlu memudahkan proses nyahpasang seperti yang dilakukan Samsung pada Galaxy S6.