GoPro sebelum ini telah memperkenalkan kamera aksi dibawah keluarga Hero4 mereka yang hadir dalam beberapa variasi. Kini, menambah variasi dibawah keluarga sama, pihak GoPro memperkenalkan Hero4 Session yang mana hadir dalam saiz yang lebih kecil, serta lebih ringan berbanding pelbagai variasi Hero4 dipasaran hari ini.
Hero4 Session hadir dalam rekaan berbentuk kiub, dan hadir dengan pelbagai ciri-ciri popular GoPro lain, termasuk kalis air dan boleh dipasang pada diri untuk merakamkan pelbagai aksi. Hero4 Session ini juga merupakan kamera aksi pertama dengan rekaan yang cukup berbeza, serta tidak memerlukan sebarang kerangka luaran tambahan untuk perlindungan kalis air.
Untuk kawalan, GoPro Hero 4 Session hanya menyertakan sebuah butang pada bahagian atas, dimana apabila ia ditekan sekali, ia akan memulakan kamera dan merakamkan video. Apabila ia ditekan untuk seketika, ia akan memulakan mod rakaman Time-Lapse secara automatik. Pengguna juga boleh membuat kawalan tambahan dengan menggunakan alat kawalan ataupun menggunakan aplikasi GoPro pada telefon pintar.
GoPro Hero4 Session hadir dengan bateri yang boleh digunakan untuk rakaman selama dua jam. Kamera 8-megapixel padanya membolehkan pengguna merakamkan video pada pilihan sehingga 1080p pada kadar 60fps, ataupun 1440p pada kadar 30fps. Ia turut hadir dengan sokongan WiFi dan Bluetooth terbina.
Buat masa ini, ia hanya dijual di Amerika Syarikat sahaja terlebih dahulu, dan mungkin diperluaskan ke seluruh dunia dalam beberapa bulan lagi.
https://www.youtube.com/watch?v=pzMRr5eTtho