Salah satu dilema pengguna iPhone adalah had kapasiti storan pada peranti tersebut. Sejak peranti iPhone hadir ke alam yang fana dan membawakan perubahan kepada dunia peranti telefon pintar semesta alam, salah satu perkara yang masih tidak berubah adalah penyimpanan fail tanpa menggunakan slot luaran terutamanya kad Mikro-SD.
Prinsip peranti iOSÂ yang tidak menggunakan kad Mikro-SD itu juga turut diakui oleh Hugo Barra dalam pelaksanaan peranti Xiaomi dalam siri Mi yang tidak membawakan sebarang kad Mikro-SD, malah, siri Nexus dari Google juga tidak menyertakan kad Mikro-SD. Oleh itu hanya tinggal beberapa cara terhad bagi menambah kapasiti storan untuk peranti iOSÂ iaitu dengan memiliki pemacu USB SanDisk iXpand Flash Drive yang telahpun dilancarkan di Malaysia pada bulan Mei lalu.
Pemacu USB SanDisk iXpand Flash Drive ini merupakan pemacu yang dicipta khusus untuk peranti iOS yang menggunakan palam Lightning dan turut menyertakan palam USB bagi tujuan pemindahan gambar dan fail-fail dalam pemacu tersebut kepada komputer yang lain. Dari segi rekabentuk dan kemasan, ia hadir dalam badan serta kemasan aluminium dengan tona warna yang sama dengan peranti-peranti Apple yang lain. Pada bahagian atas terdapat kabel Lightning yang fleksibel dan pada bahagian bawahnya terdapat palam USB.
Pada sebelah kanan pemacu ini terdapat lampu indikator bagi menunjukkan tahap bateri serta status pemacu tersebut sama ada ianya sedang beroperasi atau sebaliknya. Pemacu ini mempunyai bateri terbina namun ia bukan bertujuan untuk mengecas peranti iOS pengguna. Bateri tersebut menyediakan kuasa untuk tujuan pemindahan fail. Bagi mengecas pemacu ini, pengguna hanya perlu mencucukkannya kepada palam USB pada komputer. Meskipun pemacu ini menggunakan Lightning, ia hanya menyokong USB 2.0 jadi pemindahan fail dari pemacu ini kepada komputer tidak laju. Boleh dikatakan ini juga satu kekurangan yang kritikal kerana saban hari semakin banyak komputer menyokong USB 3.0 dan kelajuan USB 2.0 untuk pemacu yang dicipta untuk produk premium ini satu perkara yang tidak seharusnya terjadi.
Satu perkara yang agak menjengkelkan adalah saiz pemacu ini yang besar yang boleh mengambil ruang sekaligus menghalang penggunaan palam lain. Seperti gambar diatas, ia boleh menghalang penggunaan palam audio, palam Thunderbolt, dan juga palam HDMI. Namun memandangkan pengguna mungkin sekali-sekala hanya mencucukkan pemacu ini bagi tujuan pengecasan dan pemindahan fail kepada komputer, ia bukanlah satu perkara yang agak serius.
Bagi menggunakan pemacu ini, pengguna perlu memuat-turun aplikasi iXpand Sync dari AppStore. Selepas mencucuk pemacu tersebut, aplikasi iXpand akan dilancarkan dan pengguna boleh memilih fail seperti gambar dan video didalam Photos untuk dialihkan kepada pemacu ini. Pengguna boleh memilih sama ada ingin memindahkannya secara manual, atau secara automatik. Jika menggunakan pemindahan secara manual, pengguna hanya perlu memilih gambar yang dikehendaki dan meletakkannya kedalam Folder bersesuaian. Pengguna juga boleh mencipta Folder baru pada pemacu ini, sekaligus memudahkan organisasi gambar.
Sekiranya pengguna lebih biasa dengan pemindahan seumpama Photos for Mac, pemindahan secara automatik boleh dilakukan dan aplikasi ini juga akan membuang gambar yang telah dipindahkan dari peranti iOS kepada pemacu ini. Notifikasi pengesahan akan diberikan bagi pengguna mengesahkan sama ada ingin menyimpan gambar yang telah dipindahkan atau tidak. Pengguna juga boleh menetapkan sekuriti sesuatu fail yang disimpan, dengan cara melakukan enkripsi pada fail tersebut, sekaligus menyulitkan mereka yang tidak mempunyai akses terhadapnya sukar melihat mahupun memindahkan fail tersebut.
Pada aplikasi ini juga akan terpapar maklumat tahap bateri pemacu ini, tahap kapasiti storan pada peranti iOS yang digunakan serta tahap kapasiti storan tersedia pada pemacu tersebut. Selain dari pemindahan fail, pengguna juga boleh memainkan fail audio dan video pada pemacu ini secara terus dan menyokong format WMV, AVI, MKV, MP4 dan juga MOV. Salah satu contoh kegunaan ialah bagi ibu-bapa yang membawa rancangan kegemaran kanak-kanak namun kekurangan kapasiti storan, peranti ini boleh digunakan untuk menyimpan rancangan tersebut.
Selain dari itu, pemacu ini juga boleh dijadikan tempat penyimpanan dan pemindahan senarai data rakan-rakan. Menerusi pilihan Transfer Contacts, pengguna boleh memilih ‘Backup’ untuk melakukan salinan data dan menyimpanannya dalam pemacu tersebut. Pengguna hanya perlu menekan butang ‘Restore’ untuk menyalin maklumat rakan-rakan yang disimpan pada pemacu tersebut kepada peranti iOS.
Pemacu ini telahpun dijual di kedai-kedai terkemuka seperti RadioShack, Switch, Machines dan juga Mac Studio. Pemacu iXpand Flash Drive dari SanDisk ini juga turut hadir dengan jaminan selama dua tahun, pada harga RM289 untuk 16GB, RM379 untuk 32GB, RM549 untuk 64GB dan RM829 untuk 128GB.
Pro
- Mudah digunakan
- Penyelesaian untuk kapasiti storan pada iOS
Kontra
- Mahal
- USB 2.0
- Saiz yang lebar