Cari @ Amanz

Pelbagai inovasi telah dilakukan bagi menjadikan peranti pintar lebih berguna kepada manusia. Sebelum ini kami paparkan projek PEEK di Afrika yang menggunakan kamera peranti pintar untuk mengesan masalah katarak pada pesakit luar bandar. Di Indonesia peranti Android terpakai diubah menjadi sistem penggera anti pembalakan haram menerusi projek Rainforest Connection.

Kini sudah ada projek yang memberikan kemampuan pengesanan-bio (biosensing) menggunakan peranti pintar. Di masa hadapan peranti pintar boleh digunakan untuk mengesan sama ada anda mengandung dan membaca tahap kandungan gula di dalam darah. Projek ini dibangunkan oleh Hanover Centre for Optical Technologies (HOT), di University of Hanover, Jerman. Sebuah kamera peranti pintar berjaya diubah suai untuk mengesan kandungan di dalam cecair.  Lampu dari flash kamera menerangi cecair yang ingin dikesan kandungannya. Pantulan cahaya kemudian disalurkan ke arah kamera peranti menggunakan gentian kaca yang kemudian dapat mengesan kandungan cecair melalui aplikasi khas. Ini boleh dilakukan kerana wujudnya fenomena surface plasmon resonance (SPR).

SPR-sensor

Dalam ujian yang dilakukan oleh HOT, kepekaan pengesan-bio menggunakan peranti pintar mereka adalah setanding dengan mesin pengesan-bio yang digunakan di makmal. Perbezaannya ialah saiz yang lebih kompak, harga lebih murah dan lebih mudah dibawa kemana-mana. Ini membolehkan ia digunakan di negara dunia ketiga di mana akses kepada mesin pengesan-bio adalah terhad dan mahal. Hasil kajian HOT ini membolehkan peranti pintar mengesan kandungan darah, kencing dan juga air liur di masa hadapan.  Keputusan ujian dapt dilihat dan dihantar kepada pihak berkenaan terus dari peranti.

Kami boleh membayangkan modul pengesan-bio wujud untuk peranti Project Ara digunakan oleh doktor-doktor di luar bandar. Kepada mereka yang berkahwin pula tidak perlu lagi ke farmasi untuk membeli kit kehamilan. Peranti pintar milik mereka boleh mengesan kehamilan pada kos lebih rendah. Ini juga bermakna mungkin di masa hadapan pengumuman kehamilan di laman Facebook dan Instagram akan memaparkan gambar peranti pintar dan bukan lagi “kayu kencing” kehamilan seperti yang dilakukan sekarang.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd