Cari @ Amanz

Samsung setiap tahun mengemaskini keluarga peranti Galaxy Note mereka sekitar bulan September. Pada tahun lepas, mereka telah memperkenalkan Galaxy Note 4 pada acara IFA 2014, dan kini dengan bulan September yang semakin hampir, beberapa info awal mengenai Galaxy Note 5 mula kedengaran.

Samsung Galaxy Note 4

Galaxy Note 5 dikatakan dipanggil sebagai “Project Nobble” secara dalaman, dimana ia dijangka akan menggunakan skrin bersaiz 5.7-inci dengan resolusi 2560×1440 pixel. Samsung Galaxy Note 5 turut dikatakan bakal menggunakan cip pemprosesan Exynos 7422 64-bit.

Galaxy Note 5 dikatakan akan membawakan rekaan berasaskan kaca pada bahagian belakang – lebih kurang sama seperti Galaxy S6. Perkara ini mungkin membuatkan kerangka belakang tidak boleh ditanggalkan, dan Samsung mungkin tidak menyertakan sokongan mikro-SD untuk mengekalkan prestasi kepantasan ruangan storan terbina pada peranti.

Selain daripada Galaxy Note 5, Samsung juga dijangka akan memperkenalkan Galaxy S6 Edge Plus yang mana merupakan satu lagi phablet daripada mereka, tetapi mungkin tidak menyertakan sokongan stylus, serta hadir dengan cip pemprosesan Snapdragon 808.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd