Cari @ Amanz

BlackBerry baru-baru ini telah diperkatakan bakal hadir dengan telefon pintar menggunakan sistem operasi Android sepenuhnya, tetapi hadir dengan ciri-ciri keselamatan BlackBerry, serta rekaan papan kekunci fizikal padanya. Kini, lanjutan daripada perkara tersebut, BlackBerry dilihat mula mendaftarkan nama domain berkaitan dengan Android.

Daripada pengamatan terbaru, BlackBerry dilihat telah mendaftarkan nama domain AndroidSecured.com|.net, sekaligus memberikan lebih petanda untuk syarikat pengeluar peranti terkemuka berkenaan untuk hadir dengan telefon berasaskan Android.

BlackBerry Android

BlackBerry 10 sendiri sedia menyertakan sokongan Android runtime untuk menjalankan aplikasi Android menggunakannya, tetapi menurut desas-desus terbaru, BlackBerry dikatakan akan menggunakan sistem operasi Android sepenuhnya, termasuk menyertakan Play Store dan pelbagai aplikasi lain melaluinya.

Ia tidak lagi diketahui bagaimanakah ia akan berfungsi kelak, memandangkan BlackBerry mempunyai kedai aplikasi mereka tersendiri, malah ramai yang menyukai BlackBerry Hub pada peranti mereka.

Sama-sama kita nantikan apakah yang bakal dibawakan oleh pengeluar peranti berkenaan, dan sama ada mereka akan hadir dengan peranti berasaskan Android ataupun mungkin mereka hanya sekadar mendapatkan nama domain semata-mata sahaja.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd