Batman Arkham Knight ialah permainan video yang kini menghabiskan masa lapang kami setiap hari. Ianya adalah permainan Batman terbaik yang pernah kami main setakat ini. Lebih menarik berbanding Arkham City sebelum ini. Kandungan DLC terkini untuk permainan ini baru sahaja diumumkan dan diberi nama Batgirl : A Matter of Family. Keseluruhan jalan cerita berlaku sebelum insiden Arkham Knight. Oleh sebab itu anda boleh mengawal Batgirl sebelum beliau lumpuh ditembak The Joker.
Kepada yang sudah memesan Season Pass, DLC ini boleh dimuat turun pada 14 Julai. Kepada pengguna lain ia boleh dimuat turun pada 21 Julai pada harga $8. Selain dapat bermain sebagai Batgirl anda juga boleh bermain sebagai Robin. Buat masa ini DLC ini hanya diumumkan untuk Sony PlayStation 4 dan Microsoft Xbox One. Versi PC ditangguhkan selagi masalah prestasi buruk pada platform ini diperbaiki. Sehingga kini masalah belum diselesaikan dan permainan ini ditarik semula jualannya dari Steam.