Desas-desus berkenaan Google Glass generasi baru telah mula kedengaran sejak minggu lepas, dan hari ini beberapa info baru berkaitan dengannya hadir ke arena web. Ia dikatakan Google Glass generasi baru ini akan lebih memfokuskan kepada pengguna perusahaan dan bukannya pengguna umum, selain pada masa yang sama membawakan beberapa penambah-baikkan berbanding versi sebelumnya.
Google Glass ini kelak dikatakan akan hadir dengan paparan prism bersaiz lebih besar, selain turut dijana menggunakan cip pemprosesan Intel Atom. Ia turut dikatakan akan membawakan sokongan menghubungkan bateri tambahan untuk masa penggunaan lebih lama. Cip pemprosesan Intel Atom yang digunakan pada Google Glass ini kelak sendiri dikatakan akan menawarkan masa penggunaan yang lebih lama.
Memandangkan ia memfokuskan perusahaan, mungkin ia akan dilengkapi dengan teknologi lebih pintar dan membolehkan perusahaan dan pemilik perniagaan melaksanakan pelbagai tugasan dengan pantas dan dengan lebih produktif.
Sebelum ini, kita telah mendengar beberapa kali berkenaan dengan Google Glass untuk perusahaan, dan nampaknya Google masih memfokuskan kepada arena tersebut. Mungkinkah kita akan melihat ia dilancarkan pada tahun ini?