Samsung Gear VR Innovator Edition Untuk Galaxy S6 Kini Di Malaysia, Peranti Realiti-Maya Pada Harga RM799

Samsung Gear VR Innovator Edition Untuk Galaxy S6 Kini Di Malaysia, Peranti Realiti-Maya Pada Harga RM799

Diterbitkan pada July 10, 2015 oleh .

Samsung merupakan salah satu syarikat yang memfokuskan kepada arena realiti-maya(virtual-reality), dan mereka telah memperkenalkan Gear VR pada tahun lepas. Tahun ini, mereka turut mengemaskini penawaran peranti realiti-maya mereka khusus untuk Galaxy S6 melalui Gear VR Innovator Edition.

Samsung Gear VR Innovator Edition ini merupakan aksesori tambahan untuk pengguna peranti Galaxy S6, dimana anda perlu menggunakan telefon pintar Galaxy S6 bersama-sama Gear VR ini, dan telefon berkenaan akan berfungsi sebagai skrin untuknya.

Samsung Gear VR

Menggunakan Gear VR Innovator Edition, pengguna boleh menikmati pengalaman permainan yang lebih menarik, selain mengakses kandungan realiti-maya. Samsung bekerjasama dengan pihak Oculus untuk menjayakan perkara ini, dan pengguna juga turut boleh memuat-turun kandungan daripada Oculus Store. Sejumlah aplikasi dan permainan menarik disediakan untuknya.

Bagi tujuan kawalan, Samsung turut menyertakan touchpad pada bahagian tepi, selain ia membawakan rekaan yang ergonomik untuk memberikan keselesaan ketika memakainya pada kepala.

Samsung Gear VR

Di Malaysia, Samsung Gear VR ditawarkan pada harga RM799, dan hadir dalam warna putih. Ia ditawarkan secara terhad di Malaysia, dimana antara lokasi yang menawarkan peranti ini adalah termasuk di Lowyat, Setia City Mall, The Gardens Mall, 1Utama Shopping Centre, Pavilion KL, Suria KLCC, MidValley Megamall, Sunway Pyramid, Gurney Paragon Penang, Gurney Plaza Penang, Sutera Mall Johor, dan juga City Square Johor.

Pengguna juga turut boleh mencuba sendiri pengalaman menggunakan Gear VR ini dengan hadir ke beberapa jerayawara Samsung khusus untuk ini, dimana ia diadakan di Pavilion KL antara 10 ke 12 Julai, dan Sunway Pyramid pada 25 dan 26 Julai.


TIPS & ULASAN