Cari @ Amanz

bemalastrial-finalTahun ini sahaja pelbagai startup berkaitan tugas seharian dan perkhidmatan telah muncul bagai cendawan tumbuh lepas hujan. Be Malas, salah satu startup tempatan yang memfokuskan untuk memenuhi keinginan pengguna yang dilancarkan beberapa bulan lepas telahpun menerima dana pelaburan bersama dari Cradle dan KK Fund bernilai USD 500,000 (~ RM 1.9 Juta).

Dana pelaburan bersama ini juga turut mempunyai pelabur ketiga yang tidak mahu dinamakan. Bagi Cradle, ini merupakan pelaburan bersama yang kedua pada tahun ini dilakukan selepas pelaburan bersama bagi Sync dan MauKerja.my telahpun dilaksanakan bersama-sama OSK Ventures International pada bulan Mei lepas.

bemalas-screen

Bagi anda yang tidak mengenali Be Malas, seperti namanya Be Malas ingin memenuhi dan melaksanakan permintaan pengguna yang malas atau mungkin tidak mempunyai masa bagi melaksanakannya dengan sendiri. Menariknya urusan dengan mereka sangat mudah, semudah SMS dan pengguna tidak perlu menggunakan sebarang aplikasi mahupun mengisi sebarang borang di laman web. Setelah pengguna menghantar permintaan mereka secara SMS, Be Malas akan mendapatkan maklumat lebih lanjut dan akan mengecaj harga upah bergantung kepada tugasan dan perkhidmatan dilakukan.

Be Malas yang kini menerima dana sekitar RM 1.9 Juta juga telah membuka cawangan di Singapura dengan nama Be Lazee bermula awal Jun lepas dan akan meluaskan perkhidmatannya ke Hong Kong pada bulan hadapan. Jika anda berminat untuk menggunakan khidmat ini, anda hanya perlu menghantar SMS ke +6012 643 1303

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd