Apakah Freebooting? – Amalan Keji Yang Tidak Menguntungkan Sesiapa Kecuali Facebook

Apakah Freebooting? – Amalan Keji Yang Tidak Menguntungkan Sesiapa Kecuali Facebook

Diterbitkan pada July 10, 2015 oleh .

Hari ini mari belajar terma internet baru yang harus aku ketahui. Terma baru ini ialah Freebooting. Apakah Freebooting dan mengapa anda harus peduli dengan masalah yang sudah berlarutan selama bertahun lamanya. Freebooting ialah amalan memuat turun video bukan milik anda yang kemudiannya dimuat naik semula ke Facebook seperti ianya dihasilkan oleh anda. Kebanyakan laman Facebook popular di Malaysia melakukan amalan keji ini untuk mengejar jumlah Like untuk laman yang dikelolakan oleh mereka.

Sumber Gambar SmarterEveryDay

Apa Salahnya?

Ini adalah soalan yang saya yakin ingin anda tanyakan sekarang. Apa salahnya memuat semula video ke Facebook? Pertama sekali ianya bukan milik anda. Kedua, anda bayangkan jika sesuatu milik anda dimuat naik oleh orang lain tanpa kebenaran.

Ketiga ialah ada orang di luar sana yang sumber pendapatannya ialah dengan menghasilkan video. Wang dijana dari jumlah tontonan dan jualan iklan.Sekiranya anda memuat naik video mereka ke Facebook mereka tidak akan mendapatkan sesenpun dari setiap tontonan di laman media sosial nombor satu dunia ini. Yang berkongsi video mungkin mendapat ribuan Likes tetapi pihak yang mendapat keuntungan tertinggi ialah Facebook.

Kenapa Facebook Yang Untung?

Jika anda membaca artikel ini melalui komputer desktop buka laman Facebook sekarang. Cari satu video dari susur masa anda sekarang yang menggunakan pemain video natif Facebook. Lihat ke kanan video dan anda akan melihat sekurang-kurangnya satu iklan dipaparkan. Satu-satunya pihak mendapat keuntungan dari amalan mencuri dan memuat naik semula video ke laman Facebook ini ialah Facebook sendiri. Dalam suku pertama 2015 ini sahaja mereka mengaut keuntungan dari penjualan iklan sebanyak $3.4 Billion.

Freebooting-2

Ini adalah salah sebab mengapa tidak seperti Youtube, proses meminta mereka memadam video yang dimuat naik secara “haram” ini adalah perlahan. Di Youtube video sorotan perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris akan cepat dipadamkan selepas beberapa jam dimuat naik. Lakukan perkara yang sama di Facebook dan ia mungkin mengambil masa beberapa hari sebelum dipadamkan. Tiada insentif kepada Facebook untuk memadam video yang boleh membawakan keuntungan atas angin kepada diri mereka.

Facebook juga mahu menjadi raja internet dan mahu anda kekal terus di laman mereka. Mereka tidak kisah video yang di Freeboot ke laman mereka kerana ia jauh lebih baik dari menyalurkan trafik ke laman video lain seperti Youtube ataupun Vimeo.Lebih lama anda melayari laman mereka, lebih mudah untuk mereka menggunakan data tersebut untuk menarik pengiklanan dari syarikat-syarikat besar.

Setiap hari jumlah tontonan video di Facebook mencecah 4 Billion kali (mengikut angka terkini Jun 2015). Ini adalah bersamaan dengan jumlah tontonan sehari yang direkodkan oleh Youtube pada tahun 2012. Angka tontonan harian terkini tidak dapat pula saya cari setakat ini tetapi mungkin melangkaui 6 Billion dengan mudah.

Kenapa Anda Perlu Peduli?

Anda perlu peduli kerana kita bercakap tentang hak. Bercakap tentang harta intelek peribadi dan memastikan mereka yang menghasilkan video menerima ganjaran yang sewajarnya. Adakah anda akan kekal gembira sekiranya hasil titik peluh anda diambil dan kemudian orang lain yang menerima ganjaran tanpa perlu bekerja keras?

Malaysia sekarang sedang panas dengan isu yang mendakwa seorang ketua negara menggunakan duit rakyat untuk keuntungan peribadi. Jutaan tohmahan kami lihat di laman media sosial dilontarkan kepada VVIP ini kerana dituduh tidak amanah. Jika anda boleh marah duit bayaran cukai anda didakwa menguntungkan orang lain, anda harus berfikir dua kali juga sebelum berkongsi video Freebooting di Facebook.

Bak kata pepatah Melayu dalam bandar terkini. Lembu punya video, Zuckerberg dapat duit. Jangan biarkan ini berterusan. Anda mampu mengubahnya. Jika terjumpa video menarik yang ingin dikongsikan di Facebook, kongsikan sahaja URL video asal. Tidak perlu muat turun dan kemudian muat naik semula ke Facebook. Tuan punya karya asal kini tidak dinafikan hak mereka. Sekiranya anda masih tidak peduli dengan amalan Freebooting selepas membaca artikel ini saya rasa anda kehilangan hak untuk marah dengan pemimpin negara yang saya sebutkan di perenggan di atas. Kemarahan anda haruslah konsisten.


TIPS & ULASAN