Cari @ Amanz

Musim raya menjelang tiba lagi dan dalam kemeriahan menyambut hari perayaan dengan barangan baru, pemilihan barangan baru terutamanya telefon pintar juga menjadi satu pilihan bagi mereka yang telah lama menginginkannya. Namun pada masa yang sama juga pengguna perlu diingatkan supaya berhati-hati dengan sebarang tawaran yang menarik, seperti peranti yang diketahui dijual pada harga ribuan ringgit, tetapi ditawarkan pada yang lebih rendah dan ‘mampu dibayar’, sekitar ratusan ringgit.

Kadang-kala kita akan ditegur oleh penjual telefon pintar dijalanan, baik di pusat membeli-belah, mahupun di tempat letak kereta serta stesen minyak. Tempat sahaja sudah menjadi satu faktor yang boleh menimbulkan syak wasangka, dimana mereka bukan beroperasi di kedai sebaliknya mereka dengan selamba menghulurkan tangan dan memulakan bicara menawarkan harga yang rendah untuk telefon yang sedang dipegang.

Saya sendiri mengalaminya apabila bapa saya terbeli Nokia N83 tiruan pada zaman kegemilangan Nokia N-Series. Pada suatu hari setelah bapa saya berseorangan menguruskan perkara melibatkan bank di The Mall berhadapan PWTC, beliau pulang dengan ceria sambil memberikan telefon tersebut untuk saya mencubanya. Namun sejurus selepas memegang telefon tersebut dan melihat pada skrin yang tidak berubah, saya tahu yang bapa saya telah ditipu sebanyak RM300 untuk telefon yang mempunyai operasi terhad, iaitu telefon replika.

Kemungkinan telefon tersebut telah ditukar – Telefon yang sebenar di poket kanan, dan telefon tiruan di poket kiri.

Sekaligus kegembiraan bertukar menjadi kekesalan dan bapa saya tidak percaya kerana telah melihat serta mencuba telefon yang benar-benar berfungsi malah boleh melakukan panggilan. Kemudian saya mengambil telefon saya yang pada ketika itu mungkin telefon asas dan dalam benak saya berfikir untuk cuba mendemonstrasikan semula kemungkinan senario yang berlaku.

Saya berlakon seperti penjual durjana tersebut, yang menggunakan telefon sebenar dan memberikan peluang untuk bapa saya mencubanya. Kemudian sewaktu pembayaran dimana bapa saya mengeluarkan dompet dan melihat wang dalam dompet, telefon sebenar yang digunakan telah saya masukkan ke poket seluar sebelah kanan, dan telefon replika dikeluarkan dari poket seluar sebelah kiri dan terus menghulurkannya sejurus pembayaran diterima. Dan bapa saya berasakan perkara sama berkemungkinan terjadi sewaktu transaksi yang telah berlaku.

shut_up_and_take_my_moneyBapa saya juga berkongsi satu lagi maklumat iaitu sebelum beliau membeli telefon tersebut, beliau telah keluar dari bank. Terdapat kemungkinan penjual durjana ini telahpun mensasarkan bapa saya kerana sesiapa sahaja yang baru keluar dari bank, dan mungkin baru keluar selepas menggunakan mesin pengeluaran duit automatik lebih berpotensi untuk mempunyai duit yang banyak. Dan dengan telefon pintar yang diketahui berharga ribuan ringgit namun ditawarkan pada harga beratus ringgit, umpama orang mengantuk disorongkan bantal atau dalam meme popularnya – “Shut up and take my money”.

screenshot_466

Semasa saya melakukan carian untuk gambar telefon Nokia N73, kelihatan sememangnya terdapat model replika untuk N73 bertujuan untuk berjenaka atau memberikan telefon ini kepada kanak-kanak supaya mereka tidak dapat bermain dan menggunakan telefon N73 yang sebenar. Namun telefon replika ini mempunyai saiz, bentuk, serta berat yang sama dengan peranti sebenar, dan membolehkan sesiapa sahaja tertipu dengannya.

Bagaimana mencegah perkara ini terjadi?

Terdapat beberapa langkah yang boleh diambil iktibar dari kisah benar yang berlaku kepada bapa saya.

  • Elakkan untuk melakukan urusan perbankan secara perseorangan dan sentiasa berwaspada apabila membawa wang dalam jumlah yang banyak.
  • Jika tahu sesuatu peranti itu adalah terlalu murah berbanding harga asal, ada kemungkinan bakal berlakunya satu penipuan.
  • Jika melibatkan pembelian atas talian dan kemudian bertemu di alam nyata untuk melakukan transaksi pembelian tersebut, lakukaannya di tempat yang ramai orang serta bawa rakan/anak/saudara yang arif dengan peranti tersebut. Seperti contoh jika ada orang menawarkan iPhone 5 pada harga RM800, mungkin boleh membawa mereka yang biasa dengan iPhone untuk melakukan semakan.
  • Melakukan semakan nombor IMEI, atau semakan nombor peranti pada laman yang disediakan pengilang. Seperti contoh Oppo mempunyai laman khusus untuk menyemak nombor IMEI, dan bagi peranti Apple, anda boleh melihat status waranti pada laman selfsolve.apple.com.
  • Jangan berurusan dengan sebarang pembelian yang ditawarkan pada lokasi yang tidak sesuai seperti tempat letak kereta dan juga stesen minyak.

Oleh kerana itu kita dapat lihat pelbagai usaha dilakukan oleh jenama-jenama besar bagi mencegah pembelian peranti tiruan kerana pembelian peranti tiruan tidak memberikan sebarang manfaat apatah lagi ianya tidak akan dijamin oleh pengilang.

Diharap kita mengambil iktibar serta mengetahui berkenaan teknik-teknik penipuan yang biasa terjadi kepada pengguna. Jangan dalam keghairahan menyambut perayaan ataupun dalam ingin memberikan sesuatu hadiah anda mudah terpedaya dengan tawaran penjual peranti tiruan. Sentiasa beli peranti dari peniaga yang sah dan juga melakukan semakan menyeluruh terhadap peranti yang telah digunakan dan dijual semula.

Sekiranya anda mempunyai kisah sendiri dan mengalami penipuan yang sama, kongsikan modus operandi tersebut pada ruang komentar dibawah ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd