Cari @ Amanz

Mobile World Congress yang berlangsung bermula hari ini sehingga Jumaat di Shanghai merupakan satu lagi acara MWC namun memfokuskan dunia mudah alih dan telekomunikasi di rantau Asia. Berbeza dengan Barcelona, di Shanghai tidak banyak pengumuman peranti baru dibuat akan tetapi pelbagai peranti yang memanfaatkan Internet of Things telah diperkenalkan dan salah satunya adalah AirCube dari SK Telecom yang boleh memantau kualiti udara.

Mungkin di Malaysia isu kualiti udara ini tidak berada di tahap yang meruncing namun bagi bandar industri dan pelabuhan seperti Hong Kong dan Shanghai, isu kualiti udara sesuatu yang penting. Peranti AirCube dari SK Telecom ini hadir pada dua variasi iaitu AirCube C dan AirCube T. AirCube C merupakan peranti yang mampu memantau kewujudan partikel debu halus pada udara, gas Karbon Dioksida dan juga mengesan suhu serta kelembapan. AirCube T pula mempunyai kebolehan yang sama namun tidak boleh mengesan kewujudan gas Karbon Dioksida.

Peranti yang kecil ini boleh ditempatkan dimana-mana ruang pada rumah dan pada bahagian atasnya terdapat lampu penunjuk LED yang akan bernyala mengikut kualiti udara sekitar. Terdapat lima tahap udara dan sekiranya kualiti udara yang dipantau mencecah tahap keempat, peranti tersebut akan berbunyi dan menghantar notifikasi kepada telefon pengguna.

Pada telefon pengguna, terdapat aplikasi AirCube yang turut menyatakan maklumat berkenaan pemantauan udara. Aplikasi ini bersambung secara Bluetooth juga turut memberikan cadangan tindakan yang perlu diambil sekiranya kualiti udara tidak bersesuaian dengan kesihatan pengguna. Selain itu pengguna juga boleh melihat sejarah pemantauan udara. Peranti ini boleh bertahan selama 36 jam sesudah pengecasan selama 2 jam menggunakan slot Mikro-USB.

Buat masa ini peranti ini hanya dijual di Korea Selatan pada harga USD 90 ( ~RM 342 ) untuk model AirCube T dan juga USD 160 ( ~RM 609 ) untuk AirCube C. Buat masa ini tidak diketahui bilakah peranti ini akan hadir ke pasaran tempatan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd