MWC Shanghai 2015: Jolla Mengumumkan Sailfish India

MWC Shanghai 2015: Jolla Mengumumkan Sailfish India

Diterbitkan pada July 16, 2015 oleh .

Pada beberapa hari yang lalu Jolla iaitu satu lagi jenama dalam industri telekomunikasi telahpun membuat pengumuman untuk membahagikan syarikat kepada dua, iatu memfokuskan perisian dan juga peranti. Hari ini di acara Mobile World Congress di Shanghai Jolla telah membuat pengumuman melesenkan Sailfish OS 2.0 mereka bekerjasama dengan Intex, Times Internet dan juga Snapdeal.

Bagi anda yang tidak mengenali Jolla, pasukan mereka berasal dari MeeGO yang pernah berada dibawah Nokia. Mereka memperkenalkan Sailfish OS yang membawakan paparan antaramuka berdasarkan gesture (SwipeUI) dan tidak membawakan sebarang butang fizikal pada peranti mereka. Peranti ini juga boleh menjalankan aplikasi Android tanpa sebarang masalah.

MWCS15- Jolla Intex -IMG_8874

Melalui perjanjian kerjasama ini yang turut digelar Sailfish India, Jolla akan melesenkan sistem operasi Sailfish OS 2.0 dan bekerjasama dalam menyediakan platform untuk kandungan berintegrasi di India. Bagi menjayakannya, pengeluar peranti elektronik yang popular di India iaitu Intex akan menghasilkan peranti telefon pintar yang beroperasi menggunakan Sailfish OS 2.0 dan akan dijual dengan nama Intex AquaFish. Intex sebelum ini juga telah menghasikan telefon pintar yang beroperasi menggunakan sistem operasi Firefox dan kerjasama ini bukanlah sesuatu yang baru bagi mereka.

MWCS15- Jolla Intex -IMG_8883

Times Internet pula merupakan salah satu penyedia kandungan media di India, akan menyediakan kandungan interaktif untuk telefon pintar ini. Kandungan seperti Gaana, Cricbuzz dan perkhidmatan mereka yang lain akan dipaparkan pada halaman ‘Partner’ pada SailfishOS.

Snapdeal yang terkenal sebagai platform kedai atas talian di India akan menjual peranti ini dan ini bukanlah kali pertama kerjasama antara mereka dan juga Jolla, dimana Snapdeal sebelum ini juga telahpun menjual peranti Jolla secara ekslusif. Melalui kerjasama ini, kedai atas talian Snapdeal akan dipaparkan pada halaman ‘Partner’, membolehkan pengguna peranti Jolla mengakses kedai atas talian Snapdeal dengan lebih mudah dan pantas.

Dengan strategi perlesenan baru oleh Jolla ini semestinya bakal membawakan peranti yang beroperasi pada Sailfish OS di lebih banyak negara dan buat masa ini Jolla merancang untuk menembusi pasaran Russia. Mereka ingin menyasarkan pasaran negara yang besar sebelum meneroka ke rantau lain, khususnya Asia Tenggara.

MWCS15- Jolla Intex -IMG_8963


TIPS & ULASAN