Cari @ Amanz

Intex merupakan satu jenama pengeluar barangan elektrik serta peranti elektronik yang terkemuka di India. Mereka telah menghasilkan pelbagai peranti dan menariknya beberapa peranti yang dihasilkan mereka turut didatangkan dengan jaminan sepanjang hayat. Sebelum ini mereka pernah menghasilkan peranti telefon pintar dengan sistem operasi alternatif iaitu Firefox dan di Mobile World Congress Shanghai tahun ini, mereka telah mempamerkan Intex Aquafish yang dikuasakan oleh Sailfish OS 2.0

Peranti Intex Aquafish ini saling tak tumpah seperti peranti telefon pintar Jolla yang sering didemonstrasikan sebelum ini. Dari segi spesifikasi ia menggunakan cip Qualcomm Snapdragon 410 dengan 1GB RAM dan 8GB kapasiti memori tersedia yang boleh ditambah sehingga 32GB menerusi slot kad Mikro-SD. Ia dikuasakan oleh bateri 2,300 mAh dan menyokong rangkaian 4G LTE. Dari segi paparan ia mempunyai paparan 4.7 inci dengan resolusi 720p.

Pada bahagian belakang terdapat kamera 8MP dengan lampu flash LED dan kamera bahagian depannya pula mempunyai sensor sebesar 2MP. Apapun dari penerangan mereka sewaktu pengumuman Jolla Sailfish India, peranti Intex Aquafish yang dipamerkan adalah model rujukan kerana mereka juga akan menghadirkan peranti yang beroperasi menggunakan Sailfish namun menggunakan cip berbeza dengan pilihan Snapdragon 200/600/800.

Sewaktu mencuba telefon ini, ia boleh dikatakan hampir serupa dengan peranti tablet Jolla yang telah dicuba pada Mobile World Congress di Barcelona yang lalu. Bagi Intex Aquafish ini, ia akan hadir dengan kandungan khusus dari Times Internet, membawakan kandungan khusus apabila pengguna menyeret paparan halaman. Dalam video pandang pertama diatas, pengguna akan dapat melihat paparan Gaana, iaitu salah satu penyedia kandungan berbentuk video yang boleh ditonton oleh pembeli Intex Aquafish ini namun tiada paparan Snapdeal buat masa ini, memandangkan telefon Jolla yang digunakan adalah peranti untuk tujuan demonstrasi. Kedua-dua paparan ini terdapat di ruangan ‘Partner Spaces’.

Bagi pengeluar Intex, buat masa ini tiada sebarang perancangan untuk penjualan penutup ‘The Other Half’ kerana mereka ingin memfokuskan untuk memperkenalkan produk ini di pasaran India untuk tahap permulaan ini. Mungkin apabila peranti ini mendapat lebih banyak sambutan pengguna di India bakal dapat melihat perlaksanaan penutup tersebut dengan rakan kerjasama yang lain. Bagi anda yang tidak mengetahui mengenainya, penutup ‘The Other Half’ merupakan bahagian penutup belakang dengan cip NFC membolehkan penukaran tema dan fungsi sama seperti ruangan ‘Partner Spaces’.

MWCS15- Jolla Sailfish Reference Model -IMG_8960

Dengan Intex sebagai rakan kerjasama pertama yang akan menghasilkan telefon Sailfish untuk pasaran India, ia merupakan satu langkah dari Jolla dalam mempopularkan sistem operasi Sailfish mereka disamping mengurangkan beban dalam penghasilan peranti. Mereka ingin menembusi pasaran serantau dan akan menyasarkan negara Russia selepas ini. Buat masa ini tiada sebarang pihak pengilang yang dinyatakan oleh Jolla bagi melesenkan sistem operasi Sailfish mereka, akan tetapi pemilihan negara Russia dibuat disebabkan bilangan penduduk di negara tersebut.

Mungkin ia akan mengambil beberapa ketika sebelum telefon dengan sistem operasi Sailfish ini muncul di Asia Tenggara, dan jika ia hadir ke rantau Asia Tenggara sekalipun mungkin ia akan sampai ke negara Indonesia terlebih dahulu, berikutan bilangan penduduk yang boleh disasarkan oleh Jolla.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd