Cari @ Amanz

Pada awal bulan ini Huawei menerusi akaun twitter rasmi mereka telahpun memuat-naik satu gambar menunjukkan apa yang dikatakan sebagai Honor Band Zero. Honor Band Zero merupakan jam tangan pintar minimalis, malah tidak mempunyai sebarang butang. Jika di Mobile World Congress Barcelona pada bulan Mac yang lalu Huawei telahpun memperkenalkan Huawei Watch, di Shanghai kami berkesempatan untuk mencuba peranti Honor Band yang dipamerkan bersama Honor 7. MWCS15- Huawei Honor Band -IMG_8938 Honor Band ini dilihat berbeza dengan Huawei Watch, membawakan rekaan yang tipis, ringan dan lebih anggun, serta tidak mempunyai saiz yang besar. Dari segi rekaan, ia membawakan tali silikon dengan badan yang mempunyai kemasan Brushed Aluminium. Ia bukanlah dijana oleh Android Wear seperti Huawei Watch, sebaliknya mempunyai sistemnya yang tersendiri yang dipanggil RTOS. Di bahagian belakang peranti ini terdapat pin pengecasan serta jenama Honor. Dari segi spesifikasi, ia mempunyai paparan sfera sebesar 9mm, seberat 40 gram dan mempunyai bateri sebesar 70mAh yang boleh bertahan sehingga empat hari pada sekali pengecasan. Peranti ini juga mempunyai spesifikasi ketahanan IP68, iaitu kalis air dan debu dengan perlindungan sehingga 10 meter kedalaman air. Paparannya pula adalah skrin sentuh berasaskan panel OLED.



Bagi menggunakan Honor Band Zero, pengguna perlu menekan serta melakukan gesture pada skrin peranti ini. Peranti ini menyokong platform iOS dan Android. Antara perkara yang boleh dilakukan termasuklah mengesan aktiviti kecergasan dan penggunaan kalori, memantau kualiti tidur, dan mengesan telefon yang keciciran. Bagi platform iOS, dua fungsi tambahan tersedia termasuklah mengambil gambar dan juga mengabaikan panggilan masuk (Mute). Setelah mencubanya secara singkat, boleh dikatakan sekiranya anda mencari peranti jam tangan pintar yang boleh berkomunikasi pada dua platform dan memerlukan ketahanan IP68 yang kalis air dan debu, Honor Band Zero mungkin menepati citarasa anda. Tambahan pula jika anda inginkan jam yang tipis dan tidak besar seperti jam tangan pintar yang lain. Namun perlu diingatkan oleh kerana jam tangan pintar ini tidak beroperasi pada platform yang dikembangkan (seperti Android Wear, Pebble OS), ia tidak boleh dibandingkan dengan jam tangan pintar pada kelas tersebut. Tawaran aplikasi pihak ketiga juga mungkin tidak seperti pada Android Wear atau Apple Watch, sebaliknya bergantung kepada penawaran pihak Honor sendiri.



Penggunaan jenama Honor pada jam tangan ini juga secara tidak langsung memberikan idea mungkin lebih banyak lagi peranti-boleh-pakai yang akan hadir untuk keluarga Honor. Jika dibawah jenama Huawei selain dari telefon pintar terdapat TalkBand dan Watch, mungkin tak lama lagi lebih banyak peranti-boleh-pakai akan hadir dibawah kelaurga Honor. Buat masa ini tiada sebarang harga diumumkan untuk Honor Band Zero ini. Ia dikatakan jam tangan pintar ini bakal dipasarkan bermula bulan hadapan – seperti biasa bermula dari pasaran China terlebih dahulu.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd