H5OS Ingin Menjadi Salah Satu Sistem Operasi Alternatif Untuk Android – Akan Hadir 2016

H5OS Ingin Menjadi Salah Satu Sistem Operasi Alternatif Untuk Android – Akan Hadir 2016

Diterbitkan pada July 19, 2015 oleh .

Terdapat beberapa syarikat yang membangunkan sistem operasi untuk peranti mudah-alih, dan terkini sebuah syarikat yang dinamakan sebagai Acadine Technologies, diketuai oleh bekas presiden Mozilla, ingin hadir dengan sebuah sistem operasi baru yang dinamakan sebagai H5OS – dijangka dilancarkan pada tahun 2016 kelak.

Alcatel One Touch Fire

H5OS ini dikatakan akan menjadi salah satu fork FirefoxOS sebelum ini, dan dikatakan akan mesra telefon pintar, tablet, peranti boleh pakai, mahupun peranti IoT. Dengan konsep yang lebih kurang serupa seperti FirefoxOS, ia akan menekankan kepada aplikasi berasaskan web untuk digunakan pada platform berkenaan. Info penuh berkenaan dengan sistem operasi ini masih tidak diketahui lagi, tetapi ia dikatakan akan menggunakan tenaga dan pemprosesan yang lebih rendah berbanding Android, serta ia akan menjadi lebih ringan. Ini sekaligus membolehkan telefon pintar dengan spesifikasi sangat asas digunakan untuk menggunakan sistem operasi ini.

Terdapat beberapa syarikat lain yang turut menawarkan sistem operasi untuk peranti mudah-alih, termasuk antara yang popular adalah Sailfish OS, Tizen OS, dan pihak Mozilla sendiri dengan Firefox OS.

Namun, H5OS yang masih belum dilancarkan ini dilihat mungkin mempunyai kelebihannya tersendiri memandangkan mereka telah pun mempunyai suntikan dana sehingga $100 juta (~RM380 juta) buat masa ini. Ia dijangka akan digunakan untuk membangunkan kandungan, mahupun memasarkan sistem operasi berkenaan kelak.

Seperti biasa, sama-sama kita nantikan apakah yang akan dibawakan oleh sistem operasi berasaskan ekosistem terbuka ini pada tahun hadapan.


TIPS & ULASAN