Cari @ Amanz

Dunia berhubung internet merupakan salah satu impian yang diidamkan semua. Bayangkan kebanyakan peranti dan peralatan berhubung dengan internet, dan sekaligus memudahkan kita. Di Mobile World Congress Shanghai, VISA memperlihatkan konsep kereta yang berhubung dengan internet sambil menggunakan platform pembayaran mereka yang popular diseluruh dunia.

Memandangkan saban hari semakin banyak kereta disertakan dengan peranti dan panel interaktif yang berhubung dengan internet, dengan platform pembayaran VISA, ia bakal memudahkan pembayaran dilakukan dari kereta, tanpa perlu mengeluarkan kad pembayaran VISA. Pendekatan yang dilakukan VISA sedikit berbeza kerana mereka akan bekerjasama dengan pengeluar kenderaan dan berbeza dengan implementasi Android Auto dan Apple CarPlay, dimana pengeluar kereta juga bakal memperoleh keuntungan dengan setiap transaksi yang berlaku melalui VISA pada kenderaan mereka.

Menerusi demonstrasi di Shanghai, beberapa senario penggunaan telah ditunjukkan. Bermula dengan penggunaan di stesen minyak, kereta tersebut akan menghantar maklumat minyak yang perlu diisi oleh kereta tersebut. Dan memandangkan kereta tersebut telah sedia menggunakan platform pembayaran VISA, terminal VISA di stesen minyak akan menghantar isyarat bagi berkomunikasi dengan kereta bagi tujuan pembayaran lalu pengisian minyak dapat dilakukan.

Senario kedua pula semestinya disukai bagi mereka yang suka melakukan pembelian makanan dari dalam kenderaan mereka. Pengguna berupaya memilih restoran yang diinginkan dan Pizza Hut dipilih dalam demonstrasi ini. Lokasi Pizza Hut telah ditunjukkan pada peta, dan pengguna boleh mengakses bukan sahaja menu hidangan, malah memesan pesanan yang telah dilakukan pada pesanan terdahulu. Menggunakan VISA, pesanan tersebut dapat dilengkapkan terus dari kereta dan pengguna hanya perlu memandu ke cawangan Pizza Hut tersebut.

Senario penggunaan ketiga pula menunjukkan proses pembayaran tempat letak kereta terus dari VISA. Pemandu yang menggunakan kereta yang menggunakan platform VISA mampu untuk berinteraksi dengan tiang meter letak kereta di tepi jalan dan melakukan pembayaran secara terus darinya.

Apapun kesemua senario ini baru sahaja satu permulaan buat VISA dan mereka masih lagi di peringkat percubaan. Memandangkan pembayaran tanpa tunai di Malaysia masih diperingkat awal, mungkin teknologi sebegini akan mengambil masa sebelum ianya menjadi pilihan orang ramai. Bahkan, penawaran kereta yang berhubung dengan internet juga dilihat masih mahal dan tidak mampu dimiliki segenap masyarakat.

Apa pendapat anda dengan konsep pembayaran secara terus dari kereta? Kongsikannya bersama dengan kami.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd