Cari @ Amanz

Samsung mempunyai TouchWiz, Huawei mempunyai Emotion UI, Xiaomi mempunyai MiUi dan HTC mempunyai Sense. Kesemua antaramuka rekaan khas ini dicipta oleh setiap pengeluar bagi memberikan paparan rekaan tersendiri dan fungsi tambahan eksklusif. Pernah suatu ketika Sony menggunakan antaramuka Timescape dengan rekaan tersendiri mereka tetapi sejak kemasan Kit Kat antaramuka Xperia kelihatan semakin hampir dengan Android Vanilla.

Sony-Android-Concept

Secara peribadi  saya menggemari rekaan seakan Android Vanilla yang digunakan sekarang kerana ianya minimalis, kemas dan pantas. Tetapi nampaknya pihak Sony mahu mengembalikan rekaan tersendiri kepada peranti Xperia pada masa hadapan. Program Sony Android Concept akan dilancarkan untuk pengguna Xperia Z3 di Sweden dari 27 Julai sehingga 13 September ini. Kepada yang berminat mereka boleh mendaftar untuk mencuba konsep antaramuka Android Sony terkini. Anda akan mencuba rekaan antaramuka terkini dan kemudian memberikan maklum balas tentang penggunaannya setiap hari. Selepas tempoh ujian berakhir antaramuka peranti akan berubah semula kepada yang digunakan sekarang.

Ini bukan percubaan pertama Sony untuk menghasilkan antaramuka baru. Tahun lalu mereka memaparkan konsep EvolutionUI yang memerlukan pengguna melakukan aksi tertentu untuk menyahkunci fungsi baru antaramuka dan ikon tertentu. Ia adalah konsep yang menerima kutukan hebat di kalangan pembaca Amanz. Diharap Sony Android Concept tidak akan mengitar semula konsep EvolutionUI dan mengekalkan sebanyak mungkin elemen asal Android Vanilla. Kekurangan peranti Sony terletak pada harga yang mahal dan kekurangan promosi. Mengubah antaramuka tanpa menangani dua masalah utama ini tidak akan mengubah nasib Sony Mobile yang agak tenat sekarang.

 

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd