NuSwan – Robot Angsa Memantau Kualiti Air Di Singapura Secara Automatik

NuSwan – Robot Angsa Memantau Kualiti Air Di Singapura Secara Automatik

Diterbitkan pada July 22, 2015 oleh .

Bekalan air bersih boleh diminum dunia semakin kecil kerana pengurangan kawasan takungan air dan kesan pemanasan global. Dianggarkan 750 juta penduduk dunia tidak mempunyai akses kepada bekalan air minum bersih. Jumlah ini akan semakin bertambah sekiranya kita terus tidak menggunakan air dengan bijak dan memusnahkan kawasan hutan rimba.

Di negara pulau seperti Singapura, kawalan sumber air adalah penting kerana sumber yang sangat terhad. Ketika Perang Dunia Kedua antara sebab kekalahan tentera British di Singapura adalah kerana kolam takungan bekalan air pulau ini berjaya ditawan oleh tentera Jepun. Mereka belajar dari sejarah dan kini pemantauan bekalan air bersih dianggap serius sehingga menggunakan teknologi robot.

robot-swan

New Smart Water Assessment Network (NuSwan) ialah projek yang dibangunkan oleh National University of Singapore. Ianya robot berbentuk angsa yang memantau kualiti kolam takungan air secara automatik. Robot angsa ini mengesan tahap pH, kekeruhan, jumlah klorofil dan kandungan oksigen terlarut di dalam air secara berterusan. Keseluruhan kawasan takungan air boleh direnangi angsa robotik ini bagi memberikan bacaan paling tepat. Apabila bekalan bateri semakin berkurangan, ia akan berenang ke stesen pengecasan secara automatik. Kesemua data yang dikumpul dihantar secara terus ke storan awanan untuk dianalisa pihak berkenaan.

Penggunaan angsa robotik ini akan menggantikan penggunaan pekerja manusia yang terpaksa mengayuh sampan bagi mendapatkan sampel air. Kemampuan NuSwan bekerja sepanjang masa juga memberikannya kelebihan berbanding manusia. Sebuah projek robotik yang menarik bagi memastikan bekalan air minum sentiasa cukup untuk kegunaan rakyat.

NuSwan 2


TIPS & ULASAN