Cari @ Amanz

Syarikat telekomunikasi kini berlumba untuk pengenalan perkhidmatan prabayar dengan internet asas percuma, dan hari ini U Mobile turut memperkenalkan penawaran mereka dikenali sebagai Power Prepaid. Melaluinya, bukan hanya mereka menawarkan internet asas percuma, tetapi turut memberikan akses kepada internet berkelajuan tinggi sehingga 1GB apabila pengguna membuat tambah-nilai sebanyak RM10 setiap bulan.

Untuk mendapatkan pelan prabayar baru ini ini, pengguna perlu membeli pek permulaan prabayar Power Prepaid berharga RM8.50. Dengan pek permulaan ini, pengguna akan mendapat kuota data sebanyak 200MB dan panggilan percuma untuk 150 minit. Turut serta dalam pek ini adalah kredit bernilai RM8.50. Pengguna turut boleh membuat perubahan daripada talian sedia ada kepada Power Prepaid ini dengan membuat MNP.

UMobile Power Prepaid

Bagi mendapatkan internet percuma 1GB setiap bulan sepanjang hayat, pengguna hanya perlu menambah nilai RM10. Data 1GB akan diberikan percuma setiap bulan, dan sekiranya kehabisan kuota data, pengguna masih mendapat internet percuma pada kelajuan asas.

Selain daripada internet asas dan juga data berkelajuan tinggi sehingga 1GB, pihak U Mobile turut menawarkan masa panggilan percuma dengan setiap tambah-nilai. Tambah nilai sebanyak RM5 memberikan anda masa panggilan percuma sehingga 75 minit sebulan, sementara tambah-nilai sebanyak RM10 memberikan panggilan percuma seingga 150 minit sebulan.

UMobile Power Prepaid

Seperti biasa, perkhidmatan U Mobile ini ditawarkan secara percuma kepada mereka yang memastikan akaun prabayar mereka sentiasa aktif. Setiap RM1 yang ditambah-nilai memberikan anda masa aktif selama sehari, dan anda dikehendaki menambah-nilai sebanyak RM30 untuk memastikan akaun anda sentiasa aktif sepanjang bulan serta menikmati penawaran data percuma sebanyak 1GB sebulan.

Penawaran pakej prabayar lama daripada U Mobile masih dikekalkan seperti biasa selain daripada pakej Power Prepaid ini. Beberapa kekangan lain yang turut hadir adalah termasuk panggilan percuma yang hanya terhad 15 minit sehari, selain penggunaan internet asas yang dihadkan kepada 2GB sebulan. Internet asas ditawarkan pada kelajuan sehingga 64kbps seperti syarikat telekomunikasi yang lain.

Penawaran data percuma 1GB sepanjang hayat ini hanya terhad kepada mereka yang membuat pendaftaran pakej prabayar ini sebelum 31 Disember 2015 sahaja. Pelanggan sedia ada boleh membuat peralihan ke pelan Power Prepaid ini bermula 1 Ogos kelak, dan caj sebanyak RM3 akan dikenakan ketika proses pemindahan pelan ini dilakukan.

UMobile Power Prepaid

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd