Microsoft Sedang Menyiapkan Telefon Windows Phone Baru Dengan USB Type-C Serta Sokongan Surface Pen

Microsoft Sedang Menyiapkan Telefon Windows Phone Baru Dengan USB Type-C Serta Sokongan Surface Pen

Diterbitkan pada July 25, 2015 oleh .

Dengan kehadiran Windows 10, pihak Microsoft juga turut dalam persiapan menyediakan telefon pintar berspesifikasi tinggi dengan ciri-ciri khusus. Desas-desus mengenai peranti flagship mereka dengan nama kod Cityman dan Talkman telah pun kedengaran sejak beberapa bulan lepas.

Kini, berkongsi lanjut mengenainya, peranti dengan nama kod Talkman dikatakan mungkin akan hadir dengan nama Lumia 950 (atau 940), sementara dengan nama kod Cityman pula akan hadir dengan nama akhir Lumia 950 XL.

Lumia 950 XL

Kedua-dua telefon pintar ini dijangka hadir dengan kuasa pemprosesan tinggi – berkemungkinan untuk menyokong fungsi Continuum yang membolehkan telefon dihubungkan ke skrin dan mengubahnya menjadi komputer Windows 10 penuh.

Lumia 950 kelak dikatakan akan hadir dengan skrin 5.2-inci, dijana menggunakan Snapdragon 808, memori 3GB RAM, kamera belakang 20-megapixel PureView, kamera hadapan 5-megapixel dan sokongan pengecas tanpa wayar.

Lumia 950 XL pula dikatakan akan hadir dengan skrin 5.7-inci, dijana menggunakan Snapdragon 810, memori 3GB RAM, dan kamera sama seperti Lumia 950.

Kedua-dua peranti ini bakal menggunakan pengecas berasaskan USB Type-C yang baru, selain turut menyertakan pengimbas mata untuk sokongan Windows Hello.

Versi peranti XL juga dijangka akan menyertakan fungsi tambahan – iaitu kebolehan menggunakan Surface Pen untuk input, membolehkan pengguna membuat catatan menggunakannya pada peranti Windows Phone.

Kedua-dua peranti dijangka akan diperlihatkan pada IFA 2015 kelak yang berlangsung pada September 2015. Microsoft dijangka akan memulakan jualan untuknya beberapa bulan selepas itu.


TIPS & ULASAN