Cari @ Amanz

Sejak beberapa minggu lepas, pihak OnePlus telah berkongsi beberapa ciri-ciri baru yang akan hadir ke OnePlus 2, termasuk sokongan pengimbas cap jari, memori sebanyak 4GB RAM, sokongan USB Type-C, dan juga cip pemprosesan Snapdragon 810.

OnePlus Oxygen 2

Dengan pelbagai fungsi baru ini, OnePlus menekankan yang mana peranti mereka akan hadir pada minggu hadapan, bukan untuk bersaing dengan peranti-peranti pada tahun ini, tetapi bersedia untuk tahun hadapan – 2016.

Menekankan perkara ini, pihak OnePlus mengatakan ia akan dilengkapi dengan sistem operasi Oxygen OS yang membawakan pelbagai ciri-ciri baru dan terkini yang tidak akan terdapat pada telefon pintar Android lain – sekurang-kurangnya sehingga pengenalan Android M.

Oxygen OS merupakan salah satu sistem operasi berasaskan Android yang dibangunkan oleh OnePlus sendiri, dan telah ditawarkan untuk pengguna OnePlus One selepas mereka menghadapi beberapa masalah berkaitan eksklusif dengan pihak CyanogenMod. Sejak daripada itu, pihak OnePlus telah mula membangunkan sistem operasi mereka tersebut sendiri, dan menawarkan pengalaman penggunaan Android tanpa sebarang penambahan drastik serta dioptimasikan untuk peranti mereka.

Apakah ciri-ciri yang akan ditawarkan itu tidak dikongsikan, tetapi mereka mengatakan akan memperlihatkan pengalaman penggunaan OnePlus 2 pada 27 Julai kelak (28 Julai waktu Malaysia).

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd