Acer telah hadir dengan penawaran komputer bersaiz kompak mereka sebelum ini, yang mana dinamakan sebagai Revo One. Tetapi, versi yang ditawarkan sebelum ini hanyalah dijana menggunakan cip pemprosesan Intel Celeron sahaja. Pihak Acer Malaysia hari ini turut berkongsi mengatakan versi Intel Core akan hadir ke Malaysia pada pertengahan Ogos ini.
Dua variasi akan ditawarkan, iaitu dijana menggunakan Intel Core i5 dan juga Core i3. IA dikatakan akan membawakan sokongan paparan 4K, dan menariknya salah satu fungsi yang akan dibawakan adalah kemudahan untuk mengubah cakera-keras dengan mudah (swappable HDD).
Dengan kuasa pemprosesan yang tinggi, ia juga turut membolehkan pengguna menggunakan dua skrin pada masa yang sama menggunakan Revo One RL85 ini kelak.
Acer Malaysia mengatakan ia akan ditawarkan bermula pertengahan Ogos ini pada harga bermula RM1500. Sebelum ini, versi Intel Celeron telah ditawarkan pada harga RM1099.