Cari @ Amanz

Blackberry Mungkin Berhenti Mengeluarkan Peranti Sekiranya Terus Mengalami Kerugian

Link Copied!

Nasib yang dialami oleh BlackBerry adalah amat menginsafkan. Pernah suatu ketika dahulu, ia merupakan pengeluar peranti yang diminati ramai, tetapi kini sedang nazak dengan jumlah jualan peranti tahun lalu bersamaan dengan jualan iPhone selama 8 hari. Ia mengingatkan kita bahawa rezeki di tangan tuhan dan anda boleh tersungkur sepantas anda diletakkan di atas. Keadaan Blackberry sangat runcing sehingga mereka dikatakan akhirnya hadir dengan peranti Android dan bukan peranti dengan sistem operasi mereka sendiri.

BlackBerry Leap

Terkini, CEO Blackberry John Chen dipetik di dalam sebuah temuramah oleh Bloomberg, mengatakan Blackberry mungkin akan berhenti menghasilkan peranti sekiranya terus mengalami kerugian. Pada suku tahun yang terakhir, keuntungan syarikat menurun sebanyak 31% berbanding suku yang sama pada tahun lalu. Blackberry kemudian hanya akan menumpukan usaha menghasilkan perisian untuk golongan profesional. Beliau turut mengatakan strategi Blackberry ialah penghasilan peranti berspesifikasi tinggi yang menyasarkan golongan profesional dan menghentikan penjualan peranti berspesifikasi rendah. Pasaran peranti berspesifasi rendah kini dipenuhi peranti dari China pada harga yang amat murah. Pihak Blackberry tidak mampu bersaing di dalam pasaran peranti mampu milik buat masa ini. Pada waktu yang sama jumlah peranti baru akan dikurangkan dari empat kepada hanya dua buah untuk setahun.

Strategi yang dilakukan oleh Blackberry ini mungkin dapat menyelamatkan mereka dari hilang begitu sahaja. Kini terpulang kepada pengguna untuk memberikan peluang kedua kepada Blackberry untuk bangkit semula seperti Phonix dari abu. Peranti Android pertama mereka dengan sistem keselamatan profesional pastinya dinantikan – jikanya ia sesuatu yang benar.


Komen ()