Pandang Pertama Sony Xperia Z3+

Pandang Pertama Sony Xperia Z3+

Diterbitkan pada July 29, 2015 oleh .

Sony Xperia Z3+ dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia hari ini. Beberapa pembaharuan kecil dilakukan dengan rekaan ikonik Omnibalance Sony dikekalkan untuk model terkini keluarga Xperia Z. Kami berjaya menghabiskan hampir 10 minit dengan peranti ini pada majlis pelancarannya pagi tadi. Adakah Z3+ berbaloi dimiliki? Masihkan ada masalah kepanasan melampau dan apakah pendapat kami mengenainya? Pandang pertama ini akan menjawab persoalan anda.

Rekaan

Sony Xperia Z3+
Pemproses 2.0 x 4 + 1.5 x 4 GHz Lapan Teras Snapdragon 810
Skrin 5.2″ Triluminos (424 ppi)
RAM 3 Gigabyte
Muatan Dalaman 32 Gigabyte (MikroSD sehingga 128 GB)
Kamera Utama 20.7 Megapixel Lensa Lebar
Kamera Depan 5 Megapixel Lensa Lebar
Bateri 2930 mAh
SIM/Telefoni Dwi NanoSIM / 4G
Harga Jualan RM 2599

Sekilas pandang tidak terdapat banyak beza diantara Z3+ dan Z3. Skrin masih lagi 5.2″ FHD Triluminos dan masih lagi kelihatan cantik selepas setahun berlalu. Pemproses peranti yang pertama sekali menerima perubahan dengan penggunaan pemproses lapan teras Snapdragon 810 (2.0 X 4 + 1.5 x 4 GHz). Muatan dalam dipertingkatkan juga kepada 32 Gigabyte dengan sokongan kad MikroSD sehingga 128 Gigabyte. RAM masih lagi 3 Gigabyte dan begitu juga kamera utama 20.7 Megapixel.

Masih tiada sokongan OIS dan ini mengecewakan kerana peranti utama pengeluar lain seperti Samsung, LG dan OnePlus mempunyai fungsi OIS. Kamera hadapan dinaikkan dari 2 Megapixel kepada 5 Megapixel lensa lebar.  Tidak semua perubahan adalah pembaharuan dari model terdahulu. Kapasiti bateri misalnya turun kepada 2930 mAh berbanding 3100 mAh tahun lalu. Pengurangan ini mungkin adalah kerana keperluan membuatkan Z3+ lebih nipis berbanding Z3. Perubahan dari segi ketebalan adalah terlalu kecil iaitu 6.9 mm berbanding 7.3 pada versi Z3.

Butang kuasa,suara dan kamera terletak pada bahagian kanan. Ruang SIM dan kad MikroSD yang dahulu turut berada pada bahagian ini kini dipindahkan ke bahagian kiri. Dok pengecasan magnetik dan MikroUSB  yang dahulunya pada sebelah kiri sudah dipindahkan. Port pengecasan MikroUSB terbuka kini terletak di bahagian bawah. Dok pengecasan magnetik pula kini tidak lagi disokong.

Perubahan kosmetik turut berlaku pada kedudukan pembesar suara stereo. Ianya kini lebih menghampiri bingkai logam peranti berbanding model tahun lalu. Saiz bukaan ruang bunyi pembesar suara ini juga lebih besar berbanding pada Z3.

Xperia Z3+Xperia-Z3+-Photo-1

Xperia Z3+Xperia-Z3+-Photo-2Xperia Z3+Xperia-Z3+-Photo-3Pada hemat kami rekaan Z3 tahun lalu adalah amat baik. Sisi bulat membuatkannya selesa dipegang. Empat bucu polikarbonat pula menyerap hentakan sekiranya peranti terjatuh. Pada Z3+ bahan binaan logam kali ini berkilat dan tidak matte seperti tahun sebelumnya. Ini membuatkannya lebih licin dan kurang selesa dipegang. Keseluruhan bingkai kelihatan seperti diperbuat daripada bahan logam yang sama dan perbezaan bucu dan bingkai tidak lagi kelihatan.  Secara peribadi saya merasakan rekaan tubuh Xperia Z3 adalah jauh lebih selesa untuk dipegang. Dua peranti yang dipamerkan semasa pelancaran tadi mempunyai bucu yang terasa sedikit tajam.

Antaramuka

Antaramuka peranti Xperia tidak banyak bezanya dengan Android Vanilla. Perubahan yang dilakukan Sony adalah sangat minimum. Hanya minggu lalu Sony mengumumkan projek Android Concept yang akan membuatkan antaramuka peranti mereka semakin hampir kepada Android Vanilla. Jika dibandingkan dengan antaramuka Z3, tiada perubahan langsung dilakukan pada antaramuka Z3+. Ini bukanlah perkara negatif kerana kesemua fungsi asas, fungsi tambahan (seperti Small Apps) dan kustomasi yang sedia ada adalah memadai. Berikut adalah beberapa gambar paparan skrin Z3+ yang sempat kami ambil. Seperti yang anda boleh lihat ia masih lagi minimalis, kemas dan sedap dipandang.

Xperia-Z3+-screen-1Xperia-Z3+-screen-2Xperia-Z3+-screen-3

Kamera

Kamera utama masih lagi 20.7 Megapixel yang mampu merakam video pada resolusi 4K. Tiada sokongan OIS tetapi ia menggunakan sensor Exmor RS. Pada bahagian hadapan terdapat kamera sebesar 5 Megapixel yang menggunakan sensor Exmor R. Ini menurut Sony memberikan kualiti selfie yang lebih baik. Kedua-dua kamera dilengkapi lensa sudut lebar bagi memudahkan mengambil gambar secara berkumpulan.

Perubahan dilakukan pada perisian aplikasi kamera. Beberapa mod tambahan disertakan seperti AR Face yang membolehkan wajah anda ditampalkan pada muka individu lain yang turut bergambar dengan anda. Terdapat juga mod khas untuk mengambil gambar makanan. Secara keseluruhan terdapat 52 pra tetapan yang boleh dimuat turun bagi mempermudah proses pengambilan gambar. Ada beberapa pratetapan yang disertakan hanya boleh dimuat turun oleh Xperia Z3+ sahaja. Jadi ini sahajalah penambahbaikan dari segi optik yang dilakukan pihak Sony.

Xperia-Z3+-screen-camera-UI

Masalah Kepanasan Melampau?

Masalah kepanasan melampau dilaporkan oleh pengguna Xperia Z4 (Xperia Z3+ edisi Jepun) apabila ia mula dijual bulan lalu di Jepun. Menurut beberapa laporan media, aplikasi kamera akan memberikan amaran apabila peranti menjadi terlalu panas. Apa yang berlaku adalah mengejutkan kerana Z4/Z3+ dikatakan menggunakan pemproses Snapdragon 810 edisi baru yang sepatutnya menyelesaikan masalah ini.

Sepanjang tempoh percubaan pagi tadi kami tidak menyedari peranti menjadi panas ketika digunakan. Panel belakang hanya menjadi sedikit suam. Ini adalah perkara biasa yang berlaku pada kesemua peranti yang pernah kami cuba. Kami tidak mencuba peranti di luar kawasan pameran kerana tidak dibenarkan. Ruang pameran juga berhawa dingin. Maka kami tidak boleh mengesahkan bahawa masalah pemanasan melampau berjaya diselesaikan ataupun tidak untuk Z3+ pasaran tempatan.

Kesimpulan

Ada sebab mengapa peranti terkini ini diberi nama Z3+ dan bukannya Z4. Pembaharuan, penambahbaikan dan penambahan fungsi jika dibandingkan dengan Z3 adalah terlalu kecil. Dalam beberapa perkara seperti kapasiti bateri berlaku pengurangan bukan penambahan. Jelas sekali Xperia Z3+ mensasarkan pembeli yang tidak pernah memiliki Z3. Sekiranya anda tergulung di dalam kategori ini apa yang ditawarkan oleh Z3+ adalah cukup baik tetapi pada harga yang amat premium. Faktor harga ini adalah faktor paling hangat terutamanya di kalangan pembeli peranti di Malaysia. Berdasarkan komen anda pada berita pengumuman harga jualan Z3+ , nampaknya ia dijual terlalu mahal pada pendapat anda.

Jadi adakah Z3+ masih berbaloi untuk dimiliki? Secara peribadi kami memerlukan lebih banyak masa untuk mencuba peranti ini untuk menjawab persoalan ini. Tetapi buat masa ini dari pandangan pertama kami merasakan penambahbaikan yang terlaku kecil berbanding model terdahulu mungkin membuatkan kami menunggu Sony Xperia Z5. Nantikan ulasan penuh Sony Xperia Z3+ di masa hadapan sekiranya kami menerima unit untuk diulas.

Akhir sekali di bawah ialah gambar Xperia Z3+ pada sebelah kiri dan Z3 pada sebelah kanan. Seperti yang kami katakan perbezaannya tidak berapa ketara.

Xperia Z3+M2410026Xperia Z3+M2410028

 


TIPS & ULASAN