UKM Mempelopori Teknik Menggunakan Cetakan 3D Di Dalam Sektor Perubatan

UKM Mempelopori Teknik Menggunakan Cetakan 3D Di Dalam Sektor Perubatan

Diterbitkan pada July 29, 2015 oleh .

Teknik cetakan 3D sudah digunakan untuk mencetak sebuah kereta, membina sebuah rumah dan baju. Di dalam dunia perubatan pula ia digunakan untuk mencetak tangan palsu untuk kanak-kanak yang lebih selesa digunakan. Di Malaysia teknik cetakan 3D turut digunakan di sektor perubatan bagi mengubati masalah sakit kepala kronik seorang pesakit wanita.

Dr-Mohd-Nazimi-Abd-Jabar

Teknik yang pertama kali digunakan di Malaysia ini dilakukan oleh Dr Mohd Nazimi Abd Jabar, seorang pakar di Fakulti Pembedahan Gigi, Mulut dan Maksilofasial Universiti Kebangsaan Malaysia. Seorang pesakit yang terlibat di dalam sebuah kemalangan telah mengalami kecederaan pada bahagian muka yang teruk. Kesan sampingan akibat kecederaan yang dialami ialah sakit kepala yang kronik. Dr Mohd Nazimi Abd Jabar bekerjasama dengan Materialise Malaysia untuk mencetak implan muka titanium yang mengembalikan rupa asal pesakit. Pada masa yang sama ia berjaya mengurangkan masalah sakit kepala kronik yang dialami pesakit tersebut.

Menurut Dr Mohd Nazimi Abd Jabar penggunaan implan yang dicetak secara 3D ini lebih baik dari implan biasa kerana lebih ringan dan poros. Setiap implan juga dapat dipasang dengan tepat pada pesakit seterusnya membuatkannya lebih selesa. Nampaknya penggunaan cetakan 3D di dalam bidang perubatan sudah bermula di Malaysia. Diharap Dr Mohd Nazimi Abd Jabar dapat memperbaiki tahap kesihatan lebih banyak pesakit yang memerlukan kepakaran beliau di masa hadapan.


TIPS & ULASAN