Pertandingan DOTA 2 The International tahun ini bakal berlangsung pada minggu hadapan dan menariknya terdapat sekumpulan pemain DOTA 2 dari Malaysia yang akan turut serta mewakili pasukan Fnatic. Bagi memberikan sokongan kepada arena eSukan tempatan, Astro bakal menawarkan siaran langsung pertandingan DOTA 2 The International 2015 kepada pelanggan mereka.
Untuk menonton perlawanan ini secara langsung, pelanggan Astro perlu sedia mempunyai akses untuk Astro Supersport Plus pada saluran 808 dan juga Astro on-the-Go. Pertandingan yang akan berlangsung dari 4 hingga 9 Ogos ini boleh ditonton secara percuma sama ada melalui televisyen, dan juga melalui komputer menerusi laman Astro-on-the-Go. Pengguna juga boleh menonton pertandingan secara langsung ini melalui aplikasi Android dan iOS.
Bagi anda yang tidak mengikuti perkembangan eSukan tempatan terutamanya bagi permainan DOTA 2, pada bulan Jun lalu pasukan Fnatic yang berpangkalan di United Kingdom telahpun memilih pasukan pemain Malaysia yang terdiri dari pemain yang dikenali ramai dan menempa nama di persada antarabangsa. mereka adalah Chai Yee Fung ‘Mushi’, Khoo Chong Xin ‘Ohaiyo’, Lee Kong Yang ‘kYxY’, Lee Siong Tait ‘ JoHnNy’ dan juga Raziff Fadil ‘Kecik Imba’. Kebanyakan pemain dalam pasukan ini juga pernah memenangi DOTA 2 The International 3 pada tahun 2013 menerusi pasukan mereka Orange eSports.
Pemilihan ini juga dilihat sebagai salah satu perkembangan besar buat industri eSukan tempatan.Kami berharap pasukan ini dapat meneruskan kecemerlangan bagi memenangi pertandingan yang berprestij ini dan memenangi tempat pertama membolehkan mereka memperoleh hadiah berupa wang bernilai USD 6.3 Juta (!RM 24 Juta). Sama-sama kita berikan sokongan tidak berbelah-bahagi buat pasukan tempatan kita.