Leapfrog Memperkenalkan 14 Produk Baru Dibawah Jenama Armaggeddon

Leapfrog Memperkenalkan 14 Produk Baru Dibawah Jenama Armaggeddon

Diterbitkan pada July 31, 2015 oleh .

Terdapat 5 jenama dibawah Leapfrog yang telah dikemaskini pada acara mereka di Yogyakarta, Indonesia beberapa hari yang lalu iaitu SonicGear, Armaggeddon, Powerlogic, Audiobox dan juga Elysium. Mengikuti SonicGear yang mempunyai pelbagai produk diperkenalkan untuk jenama tersebut, jenama Armaggeddon memperlihatkan sejumlah 14 produk baru dibawahnya.

Berbeza dengan keluarga jenama lain, Armaggeddon mempunyai pelbagai produk dibawahnya yang dicipta dengan fokus untuk permainan komputer. Sepertimana yang kita tahu pemain permainan komputer memerlukan alatan serta peranti khusus bagi membantu mereka memenangi permainan. Malahan perkara seperti papan kekunci mekanikal, nilai DPI pada tetikus turut mempengaruhi prestasi permainan. Oleh itu dibawah jenama Armaggeddon terdapat pelbagai variasi produk yang ditawarkan khusus untuk pemain permainan komputer.

Armaggeddon Molotov 3

Leapfrog Global -Armaggeddon Molotov 1

Salah satu perkara yang paling penting dalam pemilihan fon kepala bertujuan untuk permainan atas talian ialah kebolehan peranti tersebut dalam berkomunikasi menggunakan mikrofon serta mempunyai peredam bunyi mencegah bunyi dari luar. Peranti fon kepala Molotov 3 merupakan fon kepala dengan pembesar suara dibangunkan untuk tujuan permainan, dan hadir dengan rekaan kabel pilih bagi mencegah tersimpulnya kabel ini. Terdapat mikrofon pada kabel peranti ini bagi memudahkan komunikasi antara pemain. Bagi siri ini juga terdapat dua warna khusus iaitu Merah dan Biru dengan rekaan burung bertemakan logo Armaggeddon yang berbeza, sinonim dengan dunia permainan yang sentiasa membezakan pasukan pada warna Merah dan Biru.

Armaggeddon Molotov 1

Jika Molotov 3 dilihat kecil dan anda memerlukan lebih tetapan pada peranti ini, Armaggeddon Molotov 1 hadir dengan alat kawalan pada kabel audionya, membolehkan pengguna mengawal tahap bunyi dan juga menghidupkan mikrofon. Jika Molotov 3 hadir dengan rekaan tanpa bucu tajam, Molotov 1 mempunyai bucu tajam sesuai dengan gayanya yang agresif.

Armaggeddon Fuze 9

Leapfrog Global -Armaggeddon Fuze 9

Dalam penawaran peranti audio dibawah jenama Armaggeddon, peranti audio Fuze 9 merupakan yang tertinggi pada siri ini. Fuze 9 membawakan rekaan yang besar, dengan penutup corong telinga yang besar bagi menghalang bunyi luar mengganggu pemain semasa memainkan permainan mereka. Ia hadir dengan rekaan mikrofon yang boleh disimpan dengan cara menolaknya ke dalam penutup corong telinga. Pembesar suara peranti ini juga pada format 7.1 dan mempunyai kualiti Bass yang lebih bagus.

Tiada alat kawalan jauh namun bagi mengawal tahap bunyi pengguna hanya perlu memutarkan roda berlampu pada corong telinga sebelah kiri. Pada corong telinga sebelah kanan pula terdapat suis membolehkan pengguna memilih untuk menghidupkan fungsi gegaran pada peranti ini. Menambah tahap premium peranti ini ia hadir dengan rekaan cekak kepala yang ergonomik serta membuatkan pemain berasa selesa memakainya untuk tempoh yang lama. Seperti peranti Armaggeddon yang lain, ia turut hadir pada pelbagai pilihan warna, dan juga pada warna Biru dan Merah yang membezakan keperibadian pemain melaluinya.

Armaggeddon Pulse 7

Melengkapkan penawaran Armaggeddon untuk peranti audio mereka adalah Pulse 7, yang hadir pada bentuk yang kecil berbanding Fuze 9. Peranti ini membawakan rekaan yang bersegi bagi menunjukkan gaya agresif, dan hadir pada kemasan kesat bergetah (Rubberized). Dengan material sebegini secara tidak langsung menambahkan ketahanan produk ini. Ia juga hadir dengan kabel bersalut dan juga lampu LED pada corong telinganya yang boleh dikawal pada alat kawalan yang tersemat pada kabel peranti ini.

Armaggeddon MKA-5 Blackhawk, MKA-11 Spectralhawk, MKA-13 Chromahawk.

Leapfrog Global -Armaggeddon MKA 13 Chromahawk

Terdapat tiga peranti papan kekunci mekanikal baru yang ditawarkan dari Armaggeddon. Papan kekunci mekanikal merupakan satu papan kekunci dimana setiap satu kuncinya mempunyai suis mekanikal, dan berbeza daripada binaan papan kekunci yang biasa yang menggunakan lapisan nipis. Perasaan menekannya juga berbeza namun ia sedikit bising berbanding yang biasa. Kesemua siri papan kekunci mekanikal ini juga mempunyai lampu LED yang boleh diubah tetapannya.

MKA-5 Blackhawk merupakan papan kekunci yang ditawarkan pada warna hitam sahaja dan yang paling kecil antara yang lain. Ia tidak mempunyai pad bernombor pada papan kekuncinya. Armaggeddon MKA-11 Spectralhawk pula hadir pada warna putih, dan eksklusif untuk versi ini sahaja. Ia juga membawakan pad bernombor pada papan kekuncinya. Bagi Armaggeddon MKA-13 Chromahawk, ia hadir pada dua pilihan warna dan juga mempunyai tapak yang disediakan untuknya bagi tujuan pengurusan wayar supaya membuatkannya kemas.

Armaggeddon Starship III & Havoc III

Terdapat dua tetikus yang diperkenalkan pada acara ini iaitu Starship III dan juga Havoc III namun tiada sebarang spesifikasi bagi peranti ini telah diumumkan. Namun begitu jika dilihat dari rekaan kedua peranti ini, tetikus Starship III mempunyai pelbagai butang yang boleh ditetapkan oleh pengguna, manakala Havoc III tidak mempunyai butang yang banyak. Mungkin ia direka bagi membolehkan lebih ramai pengguna mencuba peranti yang dibangunkan khusus untuk pemain permainan komputer.

Armaggeddon Zetatron T9X, Ziptron T1Z, NanoTron T1X, Microtron T2X.

Melengkapkan penawaran dari Armaggeddon adalah cesi komputer desktop yang bergaya dan mempunyai tetingkap membolehkan pengguna menyusun dan melakukan kustomasi PC Modding padanya. Kesemua cesi Armaggeddon ini juga dilengkapi lubang pengudaraan pada bahagian atas bagi memastikan komponen komputer sejuk.

Leapfrog Global -Armaggeddon T9X

Cesi Zetatron T9X merupakan yang terbesar pada kelas ‘Tower’, dan boleh memuatkan pelbagai komponen didalamnya. Cesi besar sebegini semestinya diperlukan oleh pemain permainan komputer yang biasanya membelanjakan banyak wang untuk membeli komponen yang berkuasa seperti kad grafik yang besar dan lebih berkemampuan untuk menjana grafik yang baik.

Cesi Ziptron T1Z pula merupakan kelas sederhana, yang turut membawakan rekaan yang cantik dan penutup pintu yang bermagnetik sama seperti cesi Microtron T2X. Satu perkara yang menarik bagi cesi ini adalah susunannya memudahkan pengguna untuk menyorokkan kabel komponen, satu perkara yang bagus untuk anda menunjukkan komponen didalam cesi melalui tetingkapnya. bagi Microtron T2X, cesi ini juga turut mampu memuatkan kad grafik berkuasa tinggi yang biasanya mempunyai saiz kepanjangan sehingga 320mm.

Leapfrog Global -Armaggeddon T2X-1

Satu lagi cesi yang diperkenalkan adalah Nanotron T1X yang hadir pada saiz kecil dan tidak mempunyai ruang untuk pemacu cakera DVD. Mungkin ia dilihat sebagai satu kekurangan namun menyedari hakikat penggunaan cakera DVD yang semakin berkurangan, ketiadaan slot ini juga sekaligus mengurangkan kos pembuatan cesi ini dan menjadikan harganya lebih murah.

Armaggeddon Arsenal III

Armaggeddon-Arsenal-3-2

Satu lagi produk yang diperkenalkan oleh Armaggeddon adalah bank kuasa Arsenal III. Bagi membawakan kelainan kepada peranti-peranti bank kuasa yang lain, Arsenal III hadir dengan rekaan yang mempunyai peredam gegaran dan juga dengan penutup palam USB yang menjadikan peranti ini kalis tempias dan kalis gegaran. Ia mempunyai kapasiti 11,000 mAh, dua palam USB bagi mengecas dua peranti secara serentak, lampu suluh dan pencangkuk padanya.

Buat masa ini tiada sebarang harga diumumkan untuk kesemua produk Armaggeddon yang telah dipertunjukkan. Kesemua produk ini sedang menjalani proses akhir sebelum hadir ke pasaran dan harga untuk setiap peranti ini akan diumumkan tidak lama lagi.


TIPS & ULASAN