Jabra Sport Coach Wireless Kini Hadir Untuk Pasaran Tempatan

Jabra Sport Coach Wireless Kini Hadir Untuk Pasaran Tempatan

Diterbitkan pada Ogos 2, 2015 oleh .

Pada akhir tahun lalu Jabra telah memulakan penjualan Jabra Sport Pulse Wireless, salah satu peranti audio Bluetooth yang berkebolehan mengesan degupan jantung pengguna. Jumaat yang lalu mereka telah hadir dengan Jabra Sport Coach Wireless yang hadir dengan fungsi khusus bagi membantu pengguna melakukan aktiviti kecergasan.

Dengan menggunakan aplikasi Jabra Sport Life bersama-sama peranti Jabra Sport Pulse Wireless, pengguna akan dapat mendengar cadangan serta khidmat nasihat secara langsung bagi memudahkan pengguna melakukan aktiviti kecergasan. Untuk menggunakannya, pengguna hanya perlu memilih aktiviti yang diinginkan dan aplikasi tersebut akan memberi arahan kepada pengguna seumpama mempunyai jurulatih peribadi sewaktu melakukan senaman. Peranti ini juga direka untuk mengesan secara teliti setiap aktiviti kecergasan yang dilakukan, dan memberikan arahan suara sekiranya aplikasi tersebut mengesan yang pengguna memerlukan rehat untuk seketika sebelum meneruskan aktiviti kecergasan seterusnya. Seperti contoh, ia dapat mengesan sekiranya pengguna mengayunkan pemberat dan akan mencadangkan aktiviti seterusnya selepas aktiviti ayunan tersebut telah dilengkapkan.

Dari segi spesifikasi, peranti ini mempunyai bentuk yang hampir serupa dengan Jabra Sport Pulse Wireless namun ditambah dengan pengesan Trackfit Motion Sensor. Sensor ini yang mengesan aktiviti kecergasan yang sedang dilakukan oleh pengguna dengan teliti, dan berupaya untuk memberi nasihat dengan tepat. Ia juga hadir dengan kualiti audio yang dikuasakan oleh Dolby, dan menyokong NFC. Dari segi kuasa, ia mempunyai bateri yang boleh bertahan pada mod sedia sehingga 10 hari manakala mempunyai tempoh penggunaan aktif selama 5.5 jam.

Peranti yang mempunyai ketahanan IP55 iaitu kalis air, debu dan gegaran ini hadir pada tiga pilihan warna iaitu Kuning, Biru, dan Merah. Ia boleh didapati di kedai-kedai terkemuka seperti All IT Hypermarket, EpiCentre, Machines, Radioshack dan juga Viewnet pada harga RM649 termasuk GST.


TIPS & ULASAN