IDC : Pengeluaran Tablet Terus Berkurangan – Apple Dan Samsung Masih Pada Tangga Teratas

IDC : Pengeluaran Tablet Terus Berkurangan – Apple Dan Samsung Masih Pada Tangga Teratas

Diterbitkan pada Ogos 3, 2015 oleh .

IDC merupakan salah satu syarikat yang menawarkan statistik semasa berkaitan beberapa perkara, termasuk pengeluaran dan pemasaran peranti di seluruh dunia. Terkini, hari ini mereka telah mengeluarkan statistik berkaitan pengeluaran tablet – yang mana menyaksikan pengurangan untuk suku ketiga berturut-turut.

Daripada statistik yang dikeluarkan, pengeluaran tablet dilihat berkurangan – berkemungkinan daripada permintaan yang tidak begitu tinggi. Pegangan pasaran untuk Apple iPad dan juga Samsung Galaxy Tab – dua jenama terkemuka juga turut mengalami pengurangan, tetapi pada masa yang sama, Huawei dan LG dilihat menambah pegangan pasaran mereka.

IDC : Tablet

Pengurangan permintaan tablet ini mungkin disebabkan oleh beberapa perkara – termasuk salah satunya adalah penggunaan tablet sendiri yang membolehkan pengguna menggunakannya untuk suatu jangka masa yang panjang. Berbanding peranti lain, tablet merupakan salah satu peranti yang digunakan untuk beberapa perkara asas seperti membaca buku digital, melayari web, dan juga membuat beberapa perkara asas. Disamping itu, bagi kami, satu tablet memadai dalam sesuatu keluarga, memandangkan ia sering dikongsi antara satu sama lain berbanding penggunaan telefon pintar.

Keluaran telefon pintar bersaiz besar – sekitar 6-inci juga mungkin memberikan sedikit sebanyak faktor atas pengurangan ini, selain kehadiran peranti dua-dalam-satu yang popular akhir-akhir ini.

Bagi anda, adakah anda sering mengemaskini tablet anda setiap tahun ataupun menggunakannya untuk suatu tempoh masa yang lama?


TIPS & ULASAN