Sejumlah Produk Baru Diperkenalkan Leapfrog Untuk Jenama Powerlogic, Audiobox & Elysium

Sejumlah Produk Baru Diperkenalkan Leapfrog Untuk Jenama Powerlogic, Audiobox & Elysium

Diterbitkan pada Ogos 3, 2015 oleh .

Selain dari jenama SonicGear dan Armaggeddon, Leapfrog turut memiliki jenama-jenama lain yang memfokuskan segmen pengguna yang berlainan. Sekiranya jenama SonicGear memfokuskan untuk peranti audio dan Armaggeddon untuk peranti yang memenuhi kehendak perwira siber, jenama Powerlogic, Audiobox & Elysium mempunyai segmen penggunanya yang tersendiri.

Powerlogic

Segmen peranti Powerlogic dikhususkan untuk pengguna yang baru memulakan sistem desktop mereka. Dibawah jenama ini, pelbagai peranti yang ditawarkan meliputi cesi desktop, tetikus, Power Supply Unit dan sebagainya. Di acara pengumuman Leapfrog Mega Product Launch, mereka telah membawakan dua peranti baru ke pasaran serantau.

Leapfrog Global -Powerlogic X-Craft 5000 -1

Salah satu peranti yang diperkenalkan dibawah jenama Powerlogic adalah tetikus siri X-Craft yang terdapat pada tiga variasi iaitu X-Craft Twilight 2000, X-Craft Tron 5000 dan juga X-Craft Trek 1000. Ketiga-tiganya mempunyai corak yang berlainan dan mempunyai nilai CPI sehingga 3200. Peranti ini juga mempunyai 5 butang yang boleh diprogramkan membolehkan pengguna melakukan tetapan khusus untuk setiap butang tersebut. Selain dari itu ia juga hadir dengan rekaan bercahaya dan juga didatangkan dengan pelapik tetikus X-Craft khusus untuk tujuan permainan komputer.

Leapfrog Global -Powerlogic Azzura GT5

Satu lagi pengenalan produk baru dari Leapfrog untuk jenama Powerlogic adalah cesi komputer Azzura GT5. Cesi ini disasarkan untuk mereka yang menginginkan cesi desktop yang sederhana dan kemas namun turut menawarkan fungsi yang biasanya hadir pada cesi kelas tertinggi seperti panel tepi beserta ruang bagi pengguna menyorokkan kabel, menjadikan sistem lebih kemas. Ia juga hadir dengan Power Supply Unit 600 watt dari Powerlogic.

Elysium

Leapfrog Global -Elysium Fideliio -1

Jika SonicGear merupakan jenama audio dari Leapfrog yang dikenali ramai, Elysium pula merupakan jenama baru untuk produk audio yang membawakan gaya premium dan rekaan lebih menarik. Mereka hadir dengan dua produk iaitu Elysium Fideliio dan juga Elysium Zeon III. Elysium Fideliio merupakan fon audio yang hadir dengan kemasan kulit dan juga mempunyai corong pembesar suara yang besar dan elegan dilengkapi dengan span yang tebal bagi keselesaan jangka panjang. Kabel audio bersalutnya juga boleh ditanggalkan untuk disimpulkan dengan kemas.

Elysium Zeon III pula merupakan pembesar suara Bluetooth yang sesuai melengkapi hiasan meja dan juga ruang tamu. Ia hadir dengan rekaan segitiga dan kemasan Brushed Aluminium. Peranti ini mempunyai bateri berkapasiti 2220 mAh dan sekiranya pengguna tidak mahu menggunakan Bluetooth untuknya, terdapat pilihan kabel untuk menggunakannya. Jika pengguna menghubungkan telefon pintar dengan peranti ini, ia juga boleh menjadi pembesar suara untuk tujuan panggilan (Speakerphone).

Audiobox

Audiobox merupakan jenama baru yang akan dibawakan oleh Leapfrog dan menyasarkan lebih kepada pengguna umum. Dibawah jenama ini, kehendak pelbagai pengguna yang menginginkan pembesar suara dan juga fon audio akan dipenuhi kerana penawarannya yang agak berlainan berbanding SonicGear dan juga Elysium.

Menjadi produk pertama dari Audiobox adalah Audiobox BNP 3000 yang mana merupakan fon audio tanpa wayar dengan rekaan untuk diletakkan dibelakang leher. Peranti ini juga boleh berfungsi bagi pengguna menjawab panggilan dan ia dihubungkan dengan telefon pintar menerusi Bluetooth. Ia juga mempunyai tempat letak magnetik bagi memastikan pembesar suara tidak jatuh terpisah dari badannya.

Leapfrog Global -Audiobox T1

Satu lagi siri penawaran dari Audiobox ialah pembesar suara yang mudah dibawa kemana-mana. Menerusi siri ini, pembesar suara T1, T2, dan M30 mudah dibawa kemana-mana dan mempunyai bateri terbina bagi menggunakannya. T1 dan T2 hadir dengan tangkai dan dilengkapi bateri bersaiz 1650 mAh. Peranti ini boleh digunakan secara USB, Bluetooth dan menyokong siaran radio FM. Pembesar suara M30 pula bersaiz lebih besar dan mempunyai roda serta hadir dengan rekaan seakan beg beroda, memudahkan pengguna membawanya kemana-mana.

Sepertimana pengumuman dari Leapfrog untuk peranti SonicGear dan Armaggeddon, kesemua peranti diatas tidak membawakan sebarang tanda harga lagi dan akan memasuki pasaran tempatan secara berperingkat.


TIPS & ULASAN