Jam tangan pintar Samsung Gear A dijangka akan diumumkan pada waktu yang sama dengan Galaxy Note 5 pada acara Unpacked 13 Ogos hadapan. Jam tangan pintar dengan muka bulat ini dijangka menggunakan sistem operasi Tizen dan mempunyai sisi yang berputar untuk mengawal fungsi jam. Tetapi apakah terjadi sekiranya rekaan Samsung Galaxy S6 Edge dijadikan acuan untuk rekaan jam tangan pintar terkini Samsung?
Samsung Galaxy Gear Edge ialah konsep yang dihasilkan oleh Kovacs Apor, seorang pereka yang berasal dari Hungary. Beliau membayangkan jam pintar yang kelihatan seperti sebuah S6 Edge yang dikecilkan untuk dimuatkan pada pergelangan tangan. Galaxy Gear Edge mempunyai skrin sisi di bahagian hadapan untuk paparan notifikasi seperti SMS dan panggilan telefon. Pada bahagian belakang pula terdapat pengimbas nadi.Seperti Apple Watch, Gear Edge tali jam boleh ditukarkan dengan mudah bagi membolehkan pengguna mengenakannya dengan baju yang dipakai.
Rekaan jam tangan pintar ini memang menarik tetapi rasanya jam tangan pintar masih belum diterima pengguna. Apple Watch yang dijangka membuatkan orang ramai mula mahu memiliki jam tangan pintar hanya mampu terjual sebanyak 2 juta unit sejak dilancarkan. Jualan Apple Watch merudum sehingga 90%. Nyata sekali buat masa sekarang keperluan untuk memliki jam pintar untuk kegunaan harian masih belum wujud.