Carian
U Mobile Dan ZTE Bekerjasama Dalam Pembangunan Teknologi Rangkaian Pra-5G
August 4, 2015 Aman

Dunia teknologi kini bergerak pantas, dan seperti ramai sedia maklum, pembangunan untuk rangkaian 5G telah pun dimulakan di beberapa buah negara. Kini, di Malaysia, U Mobile hari ini mengumumkan kerjasama dengan pihak ZTE dalam pembangunan inovasi dan rangkaian 5G di Malaysia.

UMobile ZTE

Melalui kerjasama dengan ZTE ini, mereka akan memulakan pembangunan pra-5G, selain turut mengimplementasikan pembangunan teknologi rangkaian 5G kelak. U Mobile mengatakan mereka merupakan syarikat telekomunikasi tempatan pertama yang memasuki pembangunan rangkaian 5G. Ini sekaligus memperlihatkan U Mobile sebagai salah satu syarikat telekomunikasi yang ingin mendahului lain dalam mengimplementasikan pelbagai teknologi baru untuk pelanggan mereka di Malaysia.

Rangkaian pra-5G ini kelak akan menjadi perantara 4G dan juga 5G. Ia dikatakan boleh menawarkan kepantasan pemindahan data sehingga lebih 10 kali ganda berbanding dengan 4G LTE.

Dengan pembangunan tahap pra-5G ini juga, ia membolehkan U Mobile untuk bersedia dengan pengenalan teknologi 5G kelak, memandangkan ia masih lagi pada peringkat awal piawaian. Teknologi rangkaian 5G dikatakan membolehkan menawarkan kelajuan sehingga 20Gbps, serta memuat-turun filem berdefinisi tinggi dalam beberapa saat sahaja. Ia juga turut akan menawarkan kadar latency yang rendah, serta menawarkan kapasiti yang lebih tinggi berbanding dengan 4G.

Komen