Lexus telah hadir dengan teaser untuk hoverboard mereka sebelum ini – iaitu sebuah papan luncur yang terapung di udara dan tidak memerlukan roda untuk berfungsi. Hari ini, pengeluar kenderaan terkemuka berkenaan turut berkongsi lanjut mengenai projek hoverboard mereka.
Untuk pengetahuan, hoverboard ini telah dipopularkan melalui filem Back to the Future, dimana watak utama dalam filem berkenaan menggunakannya ketika menjelajah ke tahun 2015. Bersempena dengan filem berkenaan, ramai yang ingin melihat papan luncur yang terapung berkenaan direalisasikan.
Untuk merealisasikan hoverboard ini, Lexus menggunakan sokongan superkonduktor dan juga magnet untuk menjadikannya terapung. Ini membuatkan ia hanya boleh digunakan di atas beberapa permukaan sahaja dan bukannya meluas di seluruh tempat. Pada masa yang sama, ia turut menggunakan liquid-nitrogen untuk menyejukkan superkonduktor.
Dengan konsep yang sama, dimana perlu menggunakan lokasi dengan rekaan khusus, kita telah melihat beberapa demonstrasi projek diperlihatkan sebelum ini. Apa pun, ia agak menarik untuk melihat hoverboard daripada Lexus ini digunakan untuk beberapa aksi menarik, termasuk menggunakannya di atas air – ala-ala dalam filem Back to the Future.
Pihak Lexus tidak akan memasarkan produk ini, dan ia hanyalah sekadar bahan promosi untuk kereta mereka.