Carian
Ulasan: Jam Tangan Pintar Apple Watch
August 6, 2015 Ikhwan Nazri

Pada tahun lepas Apple telah pun memperkenalkan peranti jam tangan pintar mereka di acara Apple Keynote pada September 2014 dalam menyertai perlumbaan peranti boleh pakai dalam kategori jam tangan pintar. Pengenalan Apple Watch juga merupakan pengenalan produk pertama dari Apple sejak iPad, dan juga boleh dikatakan produk pertama sejak era Tim Cook bermula.

Mampukah peranti ini mengulangi populariti iPad dan menetapkan penanda aras baru untuk peranti jam tangan pintar? Kami berkesempatan untuk menggunakan Apple Watch bagi tempoh seminggu dari pihak Tencent iaitu syarikat disebalik aplikasi WeChat. Jika anda bersengkang mata menonton pengumuman langsung dari Apple, aplikasi WeChat telah disebutkan sewaktu di pentas demonstrasi, sekaligus juga mengisyaratkan fokus Apple dalam menembusi pasaran China.

Dari segi rekabentuk, Apple Watch membawakan rekaan segiempat dan tidak mempunyai sebarang bucu tajam. Ia dihadirkan dalam bekas yang panjang, dimana tali bagi saiz sederhana dan panjang turut disertakan. Untuk ulasan ini, pihak WeChat meminjamkan Apple Watch Sport berwarna putih dengan badan aluminium bersaiz 42mm dengan skrin kaca sapphire yang telah disadur Ion-X bagi memberikan ketahanan yang lebih kuat dan kukuh. Skrin Apple Watch juga merupakan peranti pertama yang menyokong Force Touch, membolehkan pengguna mengakses menu tambahan mengikut kadar tekanan yang dikenakan oleh jari kepada skrin.

Apple Watch -IMG_0992

Pada bahagian belakang peranti ini terdapat sensor degupan jantung dan juga pengecasan magnetik untuk jam tangan ini. Disebelah kanan peranti terdapat Digital Crown, satu tombol yang boleh diputar dan juga ditekan, ditekan sekali bagi mengakses menu dan juga kembali kepada menu asal. Jika ditekan dua kali ia akan melancarkan aplikasi yang dibuka sebelum ini. Dibawah tombol Digital Crown terdapat butang Friends membolehkan pengguna mengakses maklumat rakan-rakan yang kerap dihubungi. Disebelah kiri peranti terdapat lubang untuk pembesar suara dan juga mikrofon. Satu perkara menarik berkenaan Apple Watch adalah pengguna juga boleh menukar orientasi peranti ini, jadi bagi mereka yang kidal dan ingin menggunakan jam tangan ini pada tangan kanan, pengguna hanya perlu menukar posisi tali jam dan menetapkan menu tersebut, meskipun kedudukan Digital Crown akan berada dibawah seperti yang ditunjukkan pada gambar dibawah.

Apple Watch -IMG_1003

Rekaan dan cara penukaran tali jam tangan Apple Watch ini perlu dipuji, kerana bagi menukar talinya, terdapat seakan-akan suis yang bertindak untuk mengunci tali ini dan ia agak kukuh. Malah Apple sendiri telah memohon paten bagi penukaran tali jam mereka. Namun begitu ini juga bermaksud pilihan pengguna untuk tali jam adalah terhad kepada tali jam yang ditawarkan oleh Apple, dan seperti mana yang kita tahu tali jam Apple sudah pasti sedikit mahal berbanding tali jam yang biasa. Apa pun Apple menyediakan pilihan pelbagai tali jam, dan ini bukan satu masalah buat pembeli yang menginginkannya.

Apple Watch -IMG_0979Sewaktu memulakan peranti ini untuk kali pertama, penetapan Apple Watch agak mudah. Dengan kemaskini terkini sistem operasi iOS 8.2, aplikasi Apple Watch turut dimuatkan pada peranti iOS. Sewaktu memulakannya pengguna hanya perlu menghidupkan Bluetooth, dan skrin Apple Watch akan memaparkan proses sync. Setelah melalui proses penetapan, aplikasi Apple Watch di iOS akan bertanya kepada pengguna aplikasi yang manakah yang diinginkan pada Apple Watch. Seterusnya pengguna juga boleh menetapkan sama ada aplikasi tersebut akan dipaparkan notifikasinya atau sekadar dimuatkan pada jam bagi akses pantas sahaja.

Menggunakan Apple Watch, paparan utama adalah muka jam dan sehingga artikel ini ditulis, pilihan paparan jam pada Apple Watch agak terhad. Bagi menukar paparan muka jam ini pengguna perlu menekan skrin Apple Watch bagi mengaktifkan Force Touch. Pengguna boleh memilih dari muka jam yang telah disediakan dan juga mengubahnya dari segi paparan maklumat tambahan dan warna. Bagi saya, paparan Modular agak disukai, dimana saya boleh menetapkan paparan berkenaan jam, dan juga maklumat temujanji seterusnya, suhu, tarikh, hari, tahap bateri, waktu matahari terbit dan terbenam. Apapun bagi melakukan kustomasi pada panel ini, ia masih terhad. Pada malahan integrasi kalendar pada aplikasi ini terhad pada Calendar oleh Apple, dan tidak boleh memilih aplikasi pihak ketiga seperti kalendar Sunrise.

Apple Watch -IMG_0991

Pada paparan jam ini juga, pengguna boleh mengakses dua paparan tambahan iaitu Notification dan juga Glances. Paparan Notification yang boleh diakses apabila pengguna menyeret jari dari bahagian atas skrin ke bawah akan memaparkan segala Notifikasi dari telefon. Glances pula boleh diakses apabila pengguna menyeret jari dari bahagian bawah skrin ke atas dan boleh dikatakan fungsinya seakan Widget atau Quick Launch, yang mana pengguna tidak perlu mengakses aplikasi pada Apple Watch melalui pilihan Menu sebaliknya melihat terus maklumat tersebut dengan pantas. Titik merah kecil pada bahagian atas semasa paparan muka jam menandakan notifikasi yang belum diberi perhatian. Sekiranya tiada sebarang notifikasi, tiada titik merah kecil dipaparkan.

Apple Watch -IMG_1017

Satu perkara yang boleh mengelirukan bagi paparan notifikasi ini ialah sekiranya pengguna sedang menggunakan iPhone, tiada sebarang notifikasi yang akan dihantar kepada Apple Watch. Mungkin ia satu pilihan yang bagus kerana notifikasi tidak akan terpapar dua kali pada kedua peranti tersebut namun bagi pendapat peribadi saya, terdapat kemungkinan akan terlepas notifikasi tersebut. Sebagai contoh, jika saya sedang menggunakan iPhone sambil memainkan permainan Clash of Clans, notifikasi yang saya terima untuk ‘Retweet’ dari akaun twitter Amanz tidak akan terpapar pada Apple Watch. Ia sedikit pengalaman yang berbeza berbanding Pebble, dimana semua notifikasi akan tetap dihantar kepada jam tangan tersebut.

Jam tangan Apple Watch juga mempunyai ‘Haptic Feedback’, dimana ia bukanlah bergetar secara ringkas dan tetap untuk semua aplikasi. Bagi menjelaskan keadaan ini, Pebble hanya akan bergetar pada satu runut getaran untuk notifikasi dari semua jenis aplikasi. Apple Watch pula mempunyai getaran yang pelbagai bersesuaian dengan aplikasi yang menghantar notifikasi. Jika pengguna menggunakan Apple Maps bagi tujuan navigasi, setiap belokan dan juga arahan dari iPhone akan dihantar ke Apple Watch. Kadar getarannya tidak terlalu kuat dan berkadaran, cukup untuk memberikan maklumat kepada pengguna. Bagi notifikasi berasaskan mesej seperti SMS, balasan mesej dari Twitter (Mentions), notifikasi secara gegaran pada Apple Watch cukup sekadar dua ‘sentuhan lembut’ dari peranti tersebut kepada pengguna.

Terdapat pelbagai fungsi yang boleh dimuatkan pada Glances. Secara asasnya fungsi-fungsi ringkas seperti pengesan degupan jantung Heartbeat, paparan aktiviti kecergasan ‘Activity’, fungsi ‘Battery’ dan juga maklumat cuaca dipaparkan melalui Glances. Malah bank tempatan Maybank juga menyediakan Glances yang memudahkan pengguna untuk menyemak baki akaun pengguna. Bukan semua aplikasi pada Apple Watch yang mempunyai Glances, dan ia terhad kepada pilihan pembangun sama ada untuk menyediakannya atau tidak.

Salah satu kegunaan Apple Watch adalah dengan adanya mikrofon dan pembesar suara, pengguna boleh menggunakannya untuk menjawab panggilan dan juga berinteraksi dengan Siri. Setiap panggilan yang diterima akan dipaparkan pada Apple Watch dan pengguna boleh memilih untuk menjawabnya pada Apple Watch ataupun iPhone. Dari segi kualiti audio, melalui ujian ringkas perbualan yang telah dilakukan saya mendapati kualiti bunyinya agak baik meskipun kelihatan janggal kerana dilihat orang ramai seolah-olah sedang berbual dengan jam. Pengguna juga boleh menetapkan tahap suara semasa berbual menggunakan jam tangan ini.

Satu kekurangan pada jam tangan ini adalah sekiranya pengguna ingin melakukan panggilan, akses pantas menggunakan butang ditepu hanya terhad kepada rakan-rakan yang telah ditetapkan sebagai ‘Friends’. Jika anda mahu menghubungi yang lain, anda perlu membuka Contacts. Anda tidak boleh mendail secara terus pada jam ini dan sekaligus merupakan sesuatu kekurangan yang boleh dikatakan kritikal. Ini kerana fungsi panggilan merupakan asas kepada penciptaan telefon itu sendiri dan dengan adanya jam yang boleh berhubung, ia seharusnya membolehkan pengguna mendail nombor yang diinginkan. Mungkin dengan kemaskini WatchOS yang seterusnya bakal membawakan fungsi sebegini.

Bagi mengakses mereka yang kerap anda hubungi, ia dilakukan dengan menggunakan butang khas dibawah Digital Crown. Senarai rakan-rakan akan dipaparkan dalam bentuk bulatan seumpama muka jam apabila butang Friends ditekan. Anda boleh mengirimkan mesej dan juga melakukan panggilan. Anda juga boleh menghantar degupan jantung anda serta lakaran luahan isi hati anda namun saya tidak berkesempatan mencuba fungsi ini. Satu perkara yang sedikit jelek adalah saiz butangnya seakan-akan butang kuasa pada peranti lain seperti iPad dan iPhone dan saya kerap tertekan butang tersebut kerana menyangkakan ia butang untuk mematikan paparan skrin.

Didalam pelbagai aplikasi yang hadir khusus untuk Apple Watch, WeChat dilihat membawakan fungsi yang pelbagai untuknya. Menggunakan aplikasi WeChat pada jam tangan pintar ini membolehkan pengguna berinteraksi dengan rakan-rakan tanpa perlu mengeluarkan iPhone dari kocek. Selain dari kebolehan untuk membalas mesej dengan pantas sama ada menggunakan sticker atau emoji pengguna juga boleh menggunakan fungsi pengecaman suara. Namun begitu perlu diingatkan fungsi pengecaman suara ini oleh kerana menggunakan pangkalan data suara untuk Weibo, mungkin anda perlu bercakap dengan loghat Amerika kerana loghat Malaysia sukar difaham oleh mesin.

Pada jam pintar ini terdapat juga paparan QR Code yang boleh ditunjukkan bagi memudahkan pengguna WeChat yang lain menambah anda sebagai rakan mereka. JIka mahu mengesahkan mereka dan menambah sebagai rakan didalam senarai rakan pengguna, hanya perlu mengetik butang request pada paparan jam ini. Pengguna juga boleh menggunakan Radar WeChat untuk mencari pengguna WeChat berhampiran.

Apple Watch -IMG_1120

Setelah seminggu menggunakan jam ini, sebagai seorang pengguna yang sudah biasa dengan pelbagai iDevices dari Apple, perasaan dan jiwa menggunakannya sedikit berlainan jika dikirakan sewaktu mula-mula menggunakan peranti lain seperti iPad, iPhone dan juga MacBook Pro. Jika dengan ketiga-tiga peranti yang dinyatakan ia memberikan perasaan untuk saya ‘mencipta’ sesuatu, perasaan yang sama tidak dirasakan pada Apple Watch. Mungkin kerana jam lebih kepada satu kehendak. Atau mungkin ia juga satu perbandingan yang kurang adil kerana jam sememangnya jam, dan tidak direka untuk menjadi berkebolehan seperti peranti yang dinyatakan tadi.

Mungkin ia disebabkan satu perkara yang jelas iaitu dari segi rekaannya antaramukanya yang berlainan. Ia tidak membawakan antaramuka yang seragam dengan peranti yang lain namun turut mengekalkan Flat UI padanya. Salah satu perkara lagi terdapat pelbagai perkara asas yang Apple gagal fikirkan antaranya penetapan masa sebelum skrin digelapkan secara automatik. Memang benar ia dibuat bagi menjimatkan masa bertahan bateri namun tanpa penetapan masa tersebut pengguna perlu menggoyangkan tangan atau menyentuh skrin bagi memastikan paparannya tidak digelapkan. Saya yakin jika Steve Jobs masih ada, perkara sebegini tidak akan terjadi.

Apple Watch -IMG_1169

Bercakap mengenai kuasa bateri, berdasarkan pengalaman saya menggunakannya ia dapat bertahan agak lama melebihi sangkaan. Ia boleh bertahan sehingga pukul 8 malam secara purata semasa ujian namun jika ingin dibandingkan dengan jam yang lain, masa bertahan yang dipunyai peranti ini agak rendah. Jika anda mahu peranti yang mempunyai masa bertahan yang lama, agak sukar bagi jam ini memenangi pemilihan berdasarkan kriteria ini.

Jam tangan pintar Apple Watch buat masa ini tidak lagi memasuki pasaran Malaysia secara rasmi akan tetapi ia masih boleh diperoleh di Singapura atau melalui Lazada. Ia ditawarkan pada dua saiz iaitu 42mm dan 38mm, sesuai untuk pengguna lelaki dan wanita dan terdapat perbezaan harga untuknya. Untuk kedua-dua saiz ini juga terdapat tiga variasi iaitu Apple Watch Sport direka supaya mempunyai ketahanan yang lebih yang dijual pada saiz 38 mm pada harga US$349 dan untuk saiz 42 mm pada harga US$399(~RM 1,549). Apple Watch yang dijual pada saiz 38 mm mempunyai harga dalam lingkungan US$549–US$1,049 (~RM 2,131 – RM 4,072) dan bagi saiz 42 mm pada lingkungan harga US$599–US$1,099 (~RM 2,325 – RM 4,266). Apple Watch Edition yang dijual pada harga termahal sekali untuk kedua-dua saiz pada lingkungan harga US$10,000–US$17,000 (~RM 38,000 – RM 66,000) kerana menggunakan emas. Bagi model yang diulas iaitu Apple Watch Sport, pada harga US 399 (~RM 1,549) , ia merupakan peranti yang mahal namun jika dibandingkan dengan jam tangan mahal yang dipakai oleh golongan yang kaya, sekurang-kurangnya kegunaan Apple Watch masih banyak dan bukan gaya semata-mata.

Pro

  • Bergaya dan memakainya seolah-olah memiliki komputer pada tangan.
  • Maklumbalas ‘Haptic’ lembut dan berbeza dengan peranti lain.
  • Kualiti audio semasa panggilan yang baik

Kontra

  • Mahal
  • Ketahanan Bateri yang rendah
  • Masih terdapat isu berkaitan pengalaman menggunakannya (User Experience)

Skor Amanz 2015 - Apple Watch

Terima kasih kepada WeChat kerana meminjamkan unit ini kepada kami.

Komen