Pertandingan DotA 2 paling berprestij dunia The International 2015 selesai hari ini dan Evil Geniuses dinobatkan sebagai juara. Di dalam perlawanan akhir, Evil Geniuses yang mewakili Amerika Syarikat menumpaskan CDEC Gaming yang mewakili China 3-1. Kemenangan EG disambut dengan meriah oleh penonton di Key’s Arena Seattle kerana ia kali pertama pasukan dari Amerika Syarikat menjadi juara The International. Pada empat edisi sebelum ini tiada pasukan dari negara ini mampu tiba ke peringkat akhir. Tahun lalu EG mendapat tempat ketiga.
Dengan kemenangan ini pasukan EG memenangi hadiah sebanyak $6,616,014. CDEC Gaming di tempat kedua memenangi $2,848,562 dan LGD Gaming di tempat ketiga memenangi $2,205,338. Apa yang kami rasakan menarik ialah seorang ahli pasukan EG Syed Sumail “Suma1L” Hassan baru berusia 16 tahun tetapi kini bergelar jutawan. Pemain yang berasal dari Pakistan ini adalah satu-satunya pemain dari benua Asia di dalam pasukan EG. Tahniah diucapkan kepada pasukan Evil Geniuses. Kepada yang kalah terutamanya wakil negara kita Fnatic, cuba lagi tahun hadapan.