Cari @ Amanz

Hari ini, Microsoft Malaysia secara rasminya telah melancarkan sistem operasi terbaru mereka, Windows 10 secara rasminya di Malaysia. Seperti semua sedia maklum, Windows 10 membawakan pelbagai perubahan baru termasuk membawakan pengalaman penggunaan yang selari pada pelbagai saiz skrin yang berbeza – daripada telefon pintar, ke tablet, desktop, komputer riba, mahupun televisyen (melalui Xbox).

Windows 10 Malaysia

Windows 10 membawakan perubahan pada rekaan antaramuka, menyertakan sokongan menu Start yang hilang pada Windows 8 sebelum ini, fungsi log masuk menggunakan wajah (memerlukan kamera Intel RealSense 3D) dan biometrik lain melalui Windows Hello, pelayar web baru Microsoft Edge, fungsi desktop maya, kebolehan menjalankan aplikasi Windows pada tetingkap di desktop, Action Center untuk melihat notifikasi, serta fungsi Continuum yang membawa pengalaman penggunaan Windows dan pelbagai aplikasi mengikut skrin yang digunakan anda.

Microsoft mengatakan Windows 10 telah dimuat-turun lebih 14 juta kali dalam 24 jam yang pertama. Microsoft turut menekankan yang mana kemaskini semasa akan terus diperkenalkan dan sistem operasi ini akan memfokuskan kepada produktiviti dan juga sekuriti.

Windows 10 Malaysia

Seperti semua sedia maklum, pengguna Windows 7 dan juga Windows 8.1 boleh menaik-taraf ke Windows 10 secara percuma. Jika anda tidak mempunyai lesen Windows, dan ingin mendapatkannya, pihak Microsoft menawarkan ia pada harga RM629.90 (tidak termasuk GST) di Malaysia untuk versi Windows 10 Home, sementara Windows 10 Pro pula berharga RM1099. Pengguna Windows versi Home turut boleh menaik-taraf ke versi Pro pada harga RM519.99 dengan membeli Windows 10 Pro Pack.

Bagi pengguna tempatan juga, jika anda tidak menerima lagi notifikasi untuk kemaskini, anda boleh membuatnya secara manual menggunakan Media Creation Tool, ataupun turut membawa komputer riba anda ke sebarang kedai rasmi Microsoft di Malaysia untuk pertolongan menaik-tarafnya untuk anda.

Dikemaskini dengan harga jualan Windows 10 Pro.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd