Carian
Google Mengumumkan Penstrukturan Semula Dibawah Syarikat Baru Alphabet – Sundar Pichai Menjadi CEO Google
August 11, 2015 Aman

Google hari ini membuat perubahan besar pada syarikat mereka dengan mengumumkan penstrukturan semula dibawah syarikat baru dinamakan sebagai Alphabet. Konglomerat baru ini akan diketuai oleh Larry Page dan Sergey Brin, sementara Google pula akan menerima CEO baru, iaitu Sundar Pichai.

Alphabet

Secara kasarnya, Alphabet akan terdiri daripada sejumlah anak syarikat dibawahnya, dan Google akan menjadi anak syarikat dibawah Alphabet ini. Dengan ini, ia membolehkan Google memfokuskan kepada beberapa perkhidmatan utama, sementara syarikat lain berkaitan beroperasi dibawah Alphabet.

Dibawah Google baru ini, antara perkhidmatan yang akan dikekalkan adalah Google Search, Google Ads, Google Maps, Google Apps, YouTube dan juga Android.

Dibawah Alphabet pula, ia akan terdiri daripada Google X (bahagian pembangunan idea luarbiasa), Calico (memfokuskan kesihatan), Nest (peranti untuk rumah pintar dan berhubung), Google Fiber (perkhidmatan internet daripada Google sebelum ini), Google Ventures, Google Capital, dan juga Life Sciences.

Dengan perubahan ini, ia dilihat pihak Alphabet akan memfokuskan kepada pelbagai projek diluar skop utama Google, sekaligus membolehkan Sundar Pichai yang menjadi CEO Google memfokuskan kepada beberapa perkhidmatan utama Google dan membawakan inovasi menarik melaluinya.

Komen