Samsung Memfailkan Paten Peranti Dengan Paparan Hologram

Samsung Memfailkan Paten Peranti Dengan Paparan Hologram

Diterbitkan pada Ogos 12, 2015 oleh .

Samsung ialah syarikat yang terkenal dengan inovasi dan penggunaan teknologi terkini. Mereka antara pelopor penggunaan peranti pintar dengan saiz skrin yang besar dengan menghasilkan Galaxy Note. Ia dahulunya ditertawakan seorang mendiang CEO ternama tetapi kini syarikat tersebut turut menghasilkan peranti dengan skrin besar. Mereka turut mempelopori penggunaan skrin sisi pada peranti. Kini sebuah paten wujud menunjukkan inovasi seterusnya dari syarikat besar Korea Selatan ini.

PATEN-Samsung-Hologram

Paten yang difailkan pada tahun 2014 menunjukkan sistem paparan hologram pada skrin peranti pintar. Dari apa yang kami fahami, tetingkap pada penutup peranti Samsung mempunyai panel yang boleh memaparkan imej hologram. Tetingkap ini mempunyai lapisan kaca yang mengubah paparan 2D kepada paparan 3D apabila dilihat. Jadi ketika peranti ditutup, sistem hologram boleh menjadi sistem notifikasi yang menarik. Sekiranya anda menerima SMS contohnya, ikon SMS akan terpapar pada skrin peranti. Lapisan khas pada penutup kemudian akan memaparkan imej hologram ikon yang seakan-akan terapung-apung secara 3D.

Tidak diketahui sama ada teknologi ini sudah wujud ataupun paten difailkan sekadar menuntut hak di masa hadapan. Harus diingatkan tidak kesemua paten akan menjadi realiti. Contoh terbaik ialah paten pesawat haipersonik Airbus minggu lalu. Tiada prototaip dihasilkan dan Airbus sekadar memfailkan idea mereka untuk kegunaan di masa hadapan apabila wujud teknologi menjadikannya realiti.


TIPS & ULASAN