Carian
Pandang Pertama : Samsung Galaxy Note 5
August 13, 2015 Aman

Samsung Galaxy Note merupakan salah satu keluarga peranti yang memulakan tradisi peranti berskrin besar, selain turut dilengkapi dengan stylus. Boleh dikatakan stylus pada Galaxy Note 5 adalah sesuatu yang jauh lebih baik daripada pelbagai peranti lain sehingga kini. Ia dikenali dengan S-Pen, dan hadir terbina pada telefon pintar berkenaan. Hari ini, Samsung mengemaskini keluarga phablet Galaxy Note dengan memperkenalkan peranti generasi kelima mereka, selain turut menambah-baik sokongan S-Pen dengan fungsi yang lebih menarik.

Samsung Galaxy Note 5



Rekaan Dan Spesifikasi

Samsung Galaxy Note 5
Pemproses 8-teras 14nm 64-bit
Skrin 5.7-inci Quad HD
RAM 4GB
Muatan Dalaman 32GB / 64GB
Kamera Utama 16 Megapixel OIS
Kamera Hadapan 5-Megapixel
Bateri 3000mAh
Lain-Lain S-Pen, Pengimbas Cap Jari

Samsung Galaxy Note 5 membawakan skrin bersaiz 5.7-inci dengan paparan resolusi 2560×1440 pixel. Secara kiraan, ia membawakan kadar ketumpatan pixel pada 518PPI sekaligus menawarkan paparan teks dan gambar yang lebih jelas dan tajam berbanding pelbagai peranti lain di pasaran.

Samsung menggunakan rekaan berasaskan logam untuk peranti ini, dan ia turut hadir dengan rekaan bahagian belakang yang melengkung. Ini membuatkan Galaxy Note 5 lebih selesa pada tangan – dan ia dilihat lebih kmpak berbanding Galaxy Note 4 sebelum ini. Kami turut mendapati, Galaxy Note 5 ini lebih selesa dipegang berbanding dengan Mi Note yang turut membawakan rekaan melengkung pada bahagian belakang.

Menguasakan peranti ini adalah cip pemprosesan lapan teras yang hadir dengan gabungan cip dua empat-teras – masing-masing berkuasa 2.1Ghz dan juga 1.5Ghz. Bagi menawarkan kelancaran dan multi-tasking yang sangat lancar, Samsung menyertakan memori 4GB RAM LPDDR4 pada telefon pintar ini, serta menggunakan ruangan storan 32GB berasaskan kepada UFS 2.0. Samsung mengatakan versi Malaysia akan hadir dengan sokongan dwi-SIM.

Pada bahagian bateri, Samsung melengkapkan ia dengan bateri berkapasiti 3000mAh. Seperti biasa, ia menyokong kebolehan pengecasan tanpa-wayar, selain pengguna turut boleh membuat pengecasan pantas menggunakan kabel mikro-USB 2.0. Berkemungkinan penggunaan USB Type-C masih awal lagi buat masa ini, dan mungkin kita hanya dapat melihatnya pada tahun hadapan daripada Samsung. Untuk pengecasan ini, Samsung mengatakan pengecasan penuh akan mengambil masa sekitar 90-minit menggunakan kabel, ataupun 120 minit menggunakan pengecasan tanpa wayar.

S-Pen

Samsung Galaxy Note 5

Seperti dinyatakan pada awal artikel ini, pada Galaxy Note 5, Samsung memfokuskan sepenuhnya kepada penggunaan S-Pen. S-Pen pada Galaxy Note 5 dikemaskini dari segi rekaan, kadar sensitiviti dan turut menyertakan beberapa kaedah baru penggunaan.

S-Pen kini tidak lagi menggunakan kaedah untuk cungkil untuk keluar, tetapi membolehkan penguna mengeluarkannya dengan menekan. Ia berasaskan kepada spring, dan apabila pengguna menekan, ia akan mengeluarkan stylus berkenaan untuk memudahkan anda mengeluarkannya dan menggunaaknnya. Perkara ini juga lebih memudahkan dan anda tidak lagi perlu menyukarkan diri sekiranya kuku terlalu pendek dan sebagainya.

Samsung Galaxy Note 5

Mencatat Nota Terus Selepas Mengeluarkan S-Pen Tanpa Perlu Memulakan AplikasiPada Galaxy Note 5, kemudahan penggunaan S-Pen turut menjadi fokus utama. Kini, pengguna tidak lagi perlu mencari aplikasi S-Memo selepas mengeluarkan S-Pen, sebaliknya ia akan aktif secara automatik ketika anda mengeluarkan S-Pen daripada lockscreen. Ini membolehkan anda terus membuat catatan nota atau lakaran tanpa perlu membuang masa, dan menulisnya pada skrin dengan latar berwarna hitam. Tulisan anda akan berwarna putih. Anda juga tidak perlu risau untuk save secara manual, memandangkan aplikasi berkenaan akan membuat simpanan pada peranti sebaik sahaja anda memasukkan kembali S-Pen pada ruangan yang disediakan. Ini sekaligus menjadikan anda boleh menggunakan S-Pen tanpa perlu membuka lockscreen Galaxy Note 5.

Samsung Galaxy Note 5Pada Galaxy Note 5 juga, pengguna boleh membuat tulisan pada dokumen PDF. Pengguna boleh menggunakan S-Pen untuk highlight sesuatu perkataan, ataupun membuat tanda-tangan dan catatan padanya. Sebaik sahaja selesai membuat catatan, pengguna boleh menyimpannya dalam bentuk PDF kembali (berbanding hanya JPG) pada versi sebelumnya.

Samsung mengatakan penulisan pada Galaxy Note 5 kini lebih semulajadi berbanding sebelumnya, malah kadar kejituaan penulisan juga turut ditambah pada S-Pen ini.

Seperti pada Galaxy Note 4, pihak Samsung turut menyertakan sokongan Air Command pada Galaxy Note 5, tetapi menariknya ia dikemaskini dan kini membolehkan pengguna menyertakan aplikasi untuk diakses dengan pantas pada Air Command. Ini sekaligus menjadikan anda bukan sahaja boleh mengakses beberapa arahan khas pada Air Command, tetapi menyertakan sehingga 3 aplikasi sebagai akses pantas menggunakannya.

Satu lagi ciri baru yang disertakan pada S-Pen kali in adalah fungsi rakaman skrin. Rakaman skrin sedia terdapat pada Galaxy Note sebelum ini, tetapi kini pihak Samsung memudahkan pengguna untuk merakamkan skrin yang panjang ke bawah dan memerlukan pengguna menatal untuknya. Sebagai contoh, laman web yang panjang, dan pengguna boleh membuat rakaman keseluruhan laman web berkenaan dan menyimpannya dalam bentuk JPG, menambah catatan padanya, ataupun berkongsi dengan rakan-rakan lain.

Kamera

Samsung Galaxy Note 5

Kamera pada telefon pintar keluaran Samsung – terutamanya flagship merupakan terbaik dipasaran, malah Galaxy S6 sebelum ini merupakan telefon pintar dengan kamera terbaik di pasaran. Kami sendiri sebelum ini menggunakan Galaxy S5 untuk tujuan rakaman video dan gambar di Amanz.

Pada Galaxy Note 5, seperti biasa, Samsung menyertakan kamera berkualiti tinggi padanya. Pada bahagian belakang, Samsung menyertakan kamera 16-megapixel F1.9 dengan sokongan penstabilan imej optikal. Ia turut hadir dengan beberapa ciri-ciri khusus menarik, selain kebolehan merakamkan gambar dalam bentuk RAW – salah satu perkara yang akan menjadi minat ramai jurugambar.

Samsung turut menyertakan beberapa mod khusus pada peranti ini, termasuk WideSelfie dan Advanced Selfie menggunakan kamera hadapan 5-megapixel F1.9.

Disamping itu, salah satu ciri baru yang menarik perhatian kami pada bahagian kamera adalah sokongan LiveBroadcasting. Menggunakannya, pengguna boleh membuat siaran langsung video daripada telefon pintar Samsung terus ke web melalui YouTube. Ini semestinya akan diminati ramai yang terlibat dalam arena penerbitan mahupun bintang-bintang YouTube untuk menggunakannya bagi tujuan siaran langsung – berbanding beberapa perkhidmatan lain seperti Periscope, Meerkat dan sebagainya yang memaparkan video secara menegak.

Audio, Pengimbas Cap Jari

Disamping memberikan perhatian kepada skrin, kamera, dan rekaan peranti, Samsung juga tidak meninggalkan fokus terhadap fungsi audio pada peranti ini. Samsung Galaxy Note 5 hadir dengan sokongan UHQ Audio (Ultra High Quality) dimana ia membolehkan audio di-upscale daripada audio biasa kepada kadar 24bit. Ini menjadikan mereka yang meminati audio berkualiti tinggi boleh mendapatkan telefon pintar ini. Samsung juga turut menyertakan ciri-ciri khusus tambahan bagi para pengguna yang menggunakan aksesori audio daripada mereka, iaitu Samsung Level.

Samsung Galaxy Note 5

Satu lagi ciri khas yang disertakan pada Galaxy Note 5 adalah sokongan pengimbas cap jari. Perkara ini mungkin telah sedia diketahui ramai memandangkan Samsung sendiri memfokuskan kepada fungsi pembayaran Samsung Pay. Menggunakan pengimbas cap jari, selain daripada untuk tujuan pembayaran (yang hanya disokong di Korea Selatan dan Amerika Syarikat sahaja), Samsung turut menawarkan sekuriti tambahan untuk pengguna Galaxy Note 5 melaluinya – seperti ketika untuk mengakses peranti dan sebagainya.

SideSync dan Lain-Lain

Samsung sedia menawarkan fungsi integrasi peranti terus ke desktop melalui perisian SideSync mereka. Melalui Galaxy Note 5, SideSync dikemaskini kepada versi SideSync 4.0, dimana bersama-sama dengannya, beberapa ciri-ciri khusus baru turut disertakan.

Antaranya adalah Auto Connection – membolehkan pengguna hanya menetapkan ia untuk sekali sahaja, dan ia akan menyambung dan berhubung dengan komputer anda secara automatik apabila menggunakan rangkaian sama. Ini menjadikan anda tidak lagi perlu menghubungkan peranti secara manual setiap hari.

SideSync baru turut menyertakan sokongan notifikasi ke PC, membolehkan anda melihat notifikasi seperti panggilan, SMS dan sebagainya, serta menguruskan ia menggunakan komputer anda. Dan akhir sekali, satu lagi ciri baru yang dibawakan oleh SideSync adalah sokongan menghantar fail antara peranti ke desktop dan juga sebaliknya.

Samsung turut menyertakan sensor kadar denyutan jantung pada Galaxy Note 5 ini. Seperti biasa, ia berkait rapat dengan penggunaan S-Health.

Penutup

Galaxy S6 sebelum ini sendiri telah membuatkan kami jatuh hati terhadap peranti berkenaan, dan kini Galaxy Note 5 meneruskan tradisi berkenaan. Dengan integrasi S-Pen, ia memudahkan beberapa aktiviti, terutamanya berkaitan dengan catatan. Ini menjadikan ia suatu peranti yang amat berguna untuk pelbagai tugasan – daripada pelajar sehinggalah kepada mereka yang bekerja.

Di Malaysia, Samsung akan membawa masuk Galaxy Note 5 versi dwi-SIM. Kita mungkin mendengar lebih lanjut mengenai Galaxy Note 5 di Malaysia dalam masa terdekat ini.

Samsung Galaxy Note 5

Komen