Cari @ Amanz

Samsung Galaxy S6 Edge Plus

Pada pengenalan Galaxy S6 awal tahun ini, pihak Samsung turut telah memperkenalkan variasi keluarga S6 Edge, dimana ia hadir dengan rekaan skrin melengkung pada kedua-dua bahagian peranti – kiri dan kanan. Hari ini, bersama-sama pengenalan Galaxy Note 5, Samsung turut sama memperkenalkan variasi peranti berskrin besar untuk keluarga peranti sama, dinamakan sebagai Galaxy S6 Edge+ (Edge Plus).

Samsung Galaxy S6 Edge+
Pemproses 8-teras 14nm 64-bit
Skrin 5.7-inci Quad HD
RAM 4GB
Muatan Dalaman 32GB / 64GB
Kamera Utama 16 Megapixel OIS
Kamera Hadapan 5-Megapixel
Bateri 3000mAh

Samsung Galaxy S6 Edge+ boleh dikatakan sebagai “abang” kepada Galaxy S6 sebelum ini. Ia membawakan skrin bersaiz 5.7-inci, sekaligus menjadikannya hadir dibawah keluarga phablet – dan mempunyai saiz skrin sama seperti Galaxy Note 5. Perbezaannya, Galaxy S6 Edge+ ini tidak mempunyai sebarang stylus, dan hadir dengan sokongan skrin pada kiri dan kanan.

Rekaan Dan Spesifikasi

Samsung Galaxy S6 Edge+ ini membawakan spesifikasi yang menyerupai Galaxy Note 5. Ia menggunakan skrin bersai 5.7-inci dengan paparan Quad HD Super AMOLED, dan dijana menggunakan cip pemprosesan lapan-teras – gabungan cip empat-teras 2.1Ghz dan juga empat-teras 1.5Ghz. Untuk memori, ia dilengkapi memori 4GB RAM LPDDR4. Ia turut hadir dalam variasi 32GB dan juga 64GB.

Peranti ini turut membawakan kamera belakang 16-megapixel dengan sokongan penstabilan imej optikal, selain kamera hadapan 5-megapixel. Seperti biasa, kualiti rakaman pada peranti flagship masih tidak boleh ditandingi pengeluar lain buat masa ini.

Seperti Galaxy Note 5 juga, peranti ini dilengkapi bateri berkapasiti 3000mAh, dan hadir dengan sokongan pengecasan tanpa-wayar. Integrasi sokongan pengimbas cap jari dan SamsungPay turut hadir pada Galaxy S6 Edge+ ini.

Apps Edge

Pada Galaxy S6 Edge sebelum ini, Samsung telah menyertakan sokongan People Edge yang membolehkan pengguna mengakses senarai nama pada buku alamat yang digemari anda daripada bahagian tepi peranti. Perkara ini dikekalkan pada peranti ini, dan Samsung turut membawa kepada sokongan mengakses aplikasi padanya.

Samsung menamakan aplikasi ini sebagai Apps Edge. Daripada contoh yang dipertontonkan kepada kami, menggunakan Apps Edge, ia memudahkan pengguna membuat multi-tasking. Sebagai contoh, jika anda sedang melayari sesuatu web, dan ingin membuka aplikasi emel atau laman sosial, anda tidak lagi perlu menekan butang Home. Sebaliknya, anda boleh menatal daripada bahagian tepi skrin dan memilih aplikasi kegemaran anda. Ia sekaligus memudahkan lagi proses anda membuat sesuatu tugasan berbanding sebelumnya.

Samsung Galaxy S6 Edge Plus

Disamping itu, satu lagi fungsi baru yang hadir pada Galaxy S6 Edge+ ini adalah sokongan Edge Holder. Kini, anda boleh menetapkan dimanakah anda ingin melokasikan akses pantas pada bahagian tepi skrin.

Sebagai contoh, jika anda kidal, mungkin ingin meletakkannya pada bahagian kiri, dan jika anda mempunyai tapak tangan yang kecil, mungkin meletakkannya pada bahagian bawah. Perkara ini memudahkan lagi pengguna menyesuaikan diri mereka dengan peranti skrin pada kedua-dua belah ini.

Disamping itu, Galaxy S6 Edge+ masih mengekalkan pelbagai ciri-ciri yang dibawakan oleh peranti flagship Samsung, termasuk pelbagai mod rakaman, akses kepada pelbagai kandungan menarik dan sebagainya.

Penutup

Samsung mengatakan Galaxy S6 Edge+ ini telah lebih dioptimasikan paparan antaramukanya, selain lebih sesuai menggunakan ia sebagai peranti multimedia – sama ada untuk memainkan game, video dan sebagainya.

Samsung Galaxy S6 Edge Plus

Samsung Galaxy S6 Edge+ ini bakal hadir ke Malaysia bersama-sama Galaxy Note 5. Samsung mengatakan variasi dengan dwi-SIM akan hadir ke Malaysia. Namun, harga jualannya masih tidak diketahui buat masa ini. Samsung Galaxy S6 Edge sebelum ini berharga sekitar RM3000 – dimana salah satu sebabnya adalah kerana penggunaan teknologi dan penghasilan skrin melengkung masih baru ketika itu. Kami berharap, harga jualan Galaxy S6 Edge+ ini akan lebih mampu-milik berbanding sebelumnya.


© 2024 Amanz Media Sdn Bhd