Masalah ketagihan menggunakan peranti pintar ialah masalah yang benar-benar wujud dan semakin serius. Ada yang masih mahu menggunakan peranti ketika membuang air besar dan ketika khatib membaca khutbah. Saya harus akui saya adalah antara individu yang mempunyai masalah ketagihan menggunakan peranti pintar. Ianya semakin sukar dibendung dengan pelbagai objek dicipta bagi memudahkan lagi penggunaan peranti setiap hari.
Phone-brella ialah payung yang dicipta khas untuk pengguna peranti pintar. Pemegang payung ini berbentuk huruf C dan membolehkan payung disangga pada pergelangan tangan tanpa perlu digenggam seperti payung biasa. Dengan Phone-brella anda boleh terus menggunakan peranti walaupun ketika hujan turun dengan lebat. Ianya dihasilkan oleh firma KT Design, anak syarikat Korea Telecom dan hanya dijual pada jumlah yang terhad kepada pengguna syarikat telekomunikasi ini. Jika dijual di Malaysia ia pasti mendapat sambutan yang hangat kerana kekerapan hujan di negara kita.