Setelah pelbagai teka-teki sebelum ini, hari ini Google secara rasminya mengumumkan nama versi untuk Android akan datang, iaitu Android 6.0. Dengan penggunaan awalan huruf “M”, Google menamakannya sebagai Android Marshmallow.
Bersama-sama dengan pengenalan nama Marshmallow ini, Google turut mengumumkan penawaran Android 6.0 SDK untuk para pembangun, sekaligus membolehkan pembangun mula menerbitkan aplikasi di Google Play Store dengan sokongan Android Marshmallow ini.
Android 6.0 Marshmallow ini membawakan sejumlah fungsi-fungsi baru yang menarik, termasuk salah satunya adalah sokongan kawalan kebenaran untuk aplikasi – seperti apakah yang boleh diakses oleh sesuatu aplikasi pada sesuatu masa.
Android 6.0 juga turut membawakan sokongan untuk pengimbas cap jari, selain membawakan beberapa penambah-baikkan dari segi bateri dan juga prestasi penggunaan.
Dengan pengumuman nama akhir ini, semestinya kini ramai menantikan pengenalan akhir Android 6.0 Marshmallow, selain pada masa yang sama pengenalan dua telefon Nexus baru – masing-masing daripada LG dan Huawei.