OUYE – Konsol Cetak Rompak Meniru Rekaan PS4 Dan Xbox One
Artikel Berkaitan

OUYE – Konsol Cetak Rompak Meniru Rekaan PS4 Dan Xbox One

Diterbitkan pada Ogos 18, 2015 oleh .

Konsol cetak rompak bukanlah fenomena baru. Semasa masih belum mumayyiz dahulu kami memiliki sebuah Micro Genius yang merupakan konsol Nintendo cetak rompak. Kemudian wujud pula PolyStation yang memainkan permainan 8 Bit tetapi kelihatan seperti sebuah Sony PlayStation. Konsol tiruan paling terkenal lima tahun kebelakangan ini ialah Chintendo Vii, konsol ciplak Nintendo Wii yang menjadi bahan jenaka dunia. Kesemua konsol ciplak ini dihasilkan di China yang aneh sekali hanya sekarang menarik semula pengharaman penjualan konsol di negara mereka.

Ouye-1

Hari ini ada sebuah lagi konsol cetak rompak yang ingin kami ketengahkan. Ouye ialah konsol Android yang mempunyai gabungan rekaan tubuh PlayStation 4 dan alat kawalan Xbox One. Namanya pula diubah dari konsol Ouya yang juga menggunakan sistem operasi Android. Ia diperkasakan pemproses lapan teras Allwinner UltraOcta A80, cip grafik PowerVR G6230, RAM sebesar 2 Gigabyte dan muatan dalaman 16 Gigabyte. Terdapat satu output HDMI, 1 USB 3.0, 1 USB 2.0, 1 LAN dan 1 jack output audio.

Sungguhpun jelas melanggar harta intelek tiga syarikat antarabangsa, konsol Ouye ini masih berani meminta dana untuk menjadikannya realiti di China. Jika anda berminat anda boleh memiliki konsol ini pada harga serendah ¥ 439 (RM 282).

Ouye-2


TIPS & ULASAN