Facebook sebelum ini telah memperlihatkan usaha mereka untuk memfokuskan lebih ramai penerbit menggunakan platform mereka untuk penerbitan. Sebelum ini, Facebook telah mengumumkan Instant Articles untuk menarik syarikat penerbitan menggunakannya, dan kini dalam usaha menarik lebih ramai penulis individu menggunakan Facebook sebagai platform penerbitan, pihak Facebook turut dilihat memberikan nafas baru untuk Facebook Notes.
Facebook Notes merupakan salah satu fungsi yang tidak begitu diberi perhatian oleh gergasi laman sosial berkenaan sehingga kini. Sebelum ini, ramai menggunakannya untuk berkongsi kisah dan pendapat, tetapi sejak pihak Facebook menawarkan kebolehan menulis status yang panjang, ramai mula menulis pada bahagian status sahaja, dan tidak lagi menggunakan Facebook Notes.
Kini, Facebook dilihat ingin menawarkan ciri-ciri menarik pada Facebook Notes – termasuk rekaan paparan seumpama Medium – dimana ia memaparkan artikel dalam keadaan yang kemas dan teratur, sekaligus memudahkan pembacaan.
Buat masa ini, Facebook masih mengujinya dikalangan segelintir pengguna terpilih sahaja, dan tidak diketahui lagi bilakah ia akan diperkenalkan secara meluas kepada semua. Bagi anda, apakah pendapat anda berkenaan dengan rekaan Facebook Notes ini? Adakah ia akan membuatkan lebih ramai menggunakannya berbanding blog atau Medium – memandangkan penggunaan pada Facebook turut memudahkan lagi proses mempromosi artikel dan penulisan berkenaan.
- Contoh : Facebook Note baru