Anda tidak boleh pergi ke bilik pameran kedai elektrik sekarang tanpa melihat sebuah televisyen LED dengan skrin melengkung. Hampir kesemua syarikat pengeluar TV sekarang mempunyai model TV LED melengkung mereka dengan Samsung di menjadi pelopor kepada teknologi baru ini. Menurut mereka televisyen dengan skrin melengkung memberikan kualiti visual lebih hampir kepada dunia sebenar. Apabila skrin melengkung anda akan terasa seperti di dalam dunia yang sama seperti apa yang ditonton. Sebelum ini kami hanya melihat skrin melengkung dengan saiz gergasi melangkaui 60″. Kini Samsung mula menghasilkan skrin melengkung untuk kegunaan komputer dengan saiz 32″. Adakah skrin melengkung dapat menggantikan skrin rata yang digunakan pengguna komputer sekarang? Jawapannya di akhir ulasan ini.
Spesifikasi & Rekaan
Samsung SE590C | |
---|---|
Skrin | 32″ LED 1920 x 1080 pixel (16:9) |
Panel | Vertical Alignment |
Sokongan Warna | 16.7 Juta |
Refresh Rate | 60 Hertz |
Contrast Ratio | 5000 : 1 |
Keterangan | 350 cd/m² |
Response Time | 4 ms |
Sudut Pandangan | 178° |
Input/Output | 2 HDMI, 1 Display Port. 1 Output audio 3.5 mm |
Pembesar Suara | Ya, Stereo 5 Watt |
USB | Tiiada |
Kamera Web | Tiada |
Harga Jualan | RM 2199 |
Sebelum memulakan ulasan ada baiknya jika saya bercakap tentang meja kerja saya di pejabat. Saya menggunakan dua skrin sebelah menyebelah sejak 10 tahun yang lalu. Sebabnya ialah ia mempercepatkan proses melakukan kerja (terutamanya jika menstrim acara pelancaran peranti baru) dan ia kelihatan menarik. Terasa seperti seorang penggodam di dalam filem The Matrix. Monitor sebesar 22″ dan 27″ yang saya gunakan sekarang rasanya sudah cukup besar untuk kegunaan harian.
Apabila saya menerima monitor melengkung Samsung 32” SE590C ini saya menyedari ianya terlalu besar untuk meja yang saya gunakan sekarang. Pembesar suara dan beberapa barangan lain di atas meja perlu saya ketepikan bagi memberi ruang kepada monitor ini. Dari segi rekaan ianya monitor tercantik yang pernah saya lihat. Skrin melengkung mempunyai bazel diperbuat daripada plastik. Kaki monitor ini juga turut melengkung mengikut bentuk skrin.
Terdapat dua “leher” disertakan di dalam kotak. Satu berwarna hitam legap dan satu lagi adalah blok plastik kebiruan. Ianya disambung menggunakan sepasang skru pada bahagian tapak dan diselitkan pada slot khas pada bahagian bawah skrin. Sistem penyambungan yang agak aneh kerana tiada skru digunakan untuk sambungan leher atas kepada bawah skrin. Sekiranya tertolak dengan daya yang mencukupi, monitor boleh “terpenggal” dengan agak mudah. Bercakap tentang “leher”, tahap pelarasan fizikal skrin adalah terhad. Ia hanya boleh didongakkan ke atas sebanyak 12º dan tunduk ke bawah sebanyak 5º sahaja.
Skrin monitor mempunyai resolusi 1920 x1080 pixel dengan nisbah 16:9. Ini adalah monitor skrin lebar biasa dan bukannya ultra-lebar yang turut dijual oleh pihak Samsung. Ia dilengkapi dengan sepasang pembesar suara stereo 5 Watt yang menembak ke bawah. Dari segi rekaan ia mengingatkan saya kepada rekaan televisyen LED yang digunakan di ruang tamu.
Pada bahagian belakang terdapat 2 input HDMI, 1 input Display Port dan1 jack fon kepala. Panel ini terbuka dan tidak tertutup seperti monitor komputer yang pernah kami gunakan sebelum ini. Tiada port USB tambahan ataupun kamera disertakan. Ketiadaan kamera web mungkin boleh dimaafkan tetapi ketiadaan port USB ini adalah merugikan. Terdapat banyak ruang pada sisi dan bawah monitor yang agak besar ini untuk meletakkan sekurang-kurangnya 2 port USB 3.0.
Tombol kawalan monitor juga terletak pada bahagian belakang. Sekiranya anda mempunyai televisyen Samsung sistem tombol ini pasti anda biasa lihat. Tekan tombol untuk mengaktifkan menu kawalan. Dari menu anda diberikan empat pilihan dan ini dilakukan dengan menggerakkan tombol ke arah pilihan yang anda mahukan. Sistem tombol ini mudah digunakan dan mesra pengguna. Melakukan tetapan skrin adalah mudah dan intuitif. Tiada keperluan untuk menekan pelbagai butang untuk mengubah nilai tertentu pada pilihan menu.
Penggunaan
Pemasangan adalah cukup mudah. Hanya perlu memasang dua skru pada tapak dan masukkan tapak ke bahagian bawah monitor. Sumber kuasa bersaiz standard kemudian dipasang pada panel belakang. Pihak Samsung menyertakan satu kabel HDMI dengan setiap pembelian. Apabila dihidupkan monitor akan mencari sumber dengan input yang aktif secara automatik. Sekiranya dua input terpasang, input pada HDMI pertama akan dipaparkan terlebih dahulu. Pemilihan sumber input dilakukan dengan menggunakan tombol kawalan pada bahagian belakang. Segalanya mudah tanpa sebarang tetapan khas perlu dilakukan.
Tiga input boleh dipasang serentak tetapi hanya satu dapat dipaparkan pada satu-satu masa. Tiada fungsi untuk melakukan Picture In Picture ataupun paparan dua input serentak. Mod ini hanya disokong pada monitor melengkung 34″ Samsung SE790C.
Paparan adalah tajam dan cantik. Samsung memang nama besar dalam teknologi paparan skrin dan kepakaran ini digunakan bagi memberikan visual terbaik pada SE590C. Panel Vertical Alignment yang digunakan hanya menyokong refresh rate sehingga 60Hz. Bagi pemilik yang mempunyai PC dengan kemampuan grafik yang tinggi ini adalah kekurangan paling ketara. Kepada yang mahu menjadi atlit e-sukan monitor dengan refresh rate 60Hz ini mengurangkan kejituan membidik musuh. Kepada pengguna biasa dengan PC berspesifikasi sederhana kekurangan ini tidak akan disedari. Bagi penggunaan harian dan menonton video kemampuan SE590C adalah lebih dari memadai.
Terdapat empat pratetapan mod paparan disertakan iaitu Standard, Cinema, Dynamic Contrast dan Custom. Setiap satunya memberi tahap keterangan dan suhu warna berbeza. Untuk ulasan ini kami menggunakan tetapan Standard kerana tidak menyakitkan mata. Bercakap tentang menyakitkan mata terdapat juga fungsi Eye Saver Mode yang mengurangkan warna biru yang menjadi sumber utama kesakitan mata sekiranya skrin dipandang untuk waktu yang lama. Mod khas Game Mode juga ada untuk memberikan paparan lebih jelas tetapi kami merasakan gambar yang dipaparkan tidak kelihatan asli dan kelihatan lebih buruk.
Skrin melengkung dikatakan memberikan visual lebih baik kerana mata manusia melengkung. Dengan skrin melengkung jarak paparan skrin ke anak mata adalah lebih sekata dan kelihatan lebih asli. Saya tidak menyedari sebarang perbezaan mendadak antara skrin melengkung dan skrin rata sepanjang tempoh ulasan. Jadi adakah ia gimik jualan? Pada skrin sebesar 32″ jawapan saya ialah ya. Pada televisyen dengan skrin melebihi 60″ jawapan saya berbeza. Selepas mencuba beberapa televisyen skrin melengkung gergasi saya memang merasakan perbezaan visual. Mungkin gabungan lengkungan lebih besar dengan paparan resolusi UHD, ilusi seperti anda berada di dalam visual ditonton adalah lebih meyakinkan.
Akhir sekali saya ingin menyentuh soal audio. Dua pembesar suara stereo 5 Watt yang terletak pada bahagian bawah skrin adalah mengecewakan. Kami berharap dengan skrin melengkung premium kemampuan audio juga sepatutnya pada tahap yang sama. Pada tetapan bunyi tertinggi ia masih tidak cukup kuat dan kualiti bunyi tidak berapa terang. Tetapi dari pengalaman peribadi saya sendiri, tidak ada satupun pembesar suara terbina pada monitor yang mampu memberikan kualiti audio yang boleh dianggap memuaskan. Sekiranya anda audiophile sebenar saya yakin anda memang tidak akan menggunakan pembesar suara terbina.
Kesimpulan
Monitor melengkung 32″ Samsung SE590C ialah monitor komputer pertama yang kami gunakan di Makmal Amanz. Ia mempunyai kualiti paparan tajam, warna hitam yang legap serta penghasilan warna yang cukup baik. Secara peribadi saya rasakan skrin sebesar 32″ mungkin terlalu besar. Tetapi seperti pertama kali saya menonton TV LED gergasi di rumah, mungkin lama kelamaan ini akan menjadi kebiasaan.
Rekaan SE590C adalah cukup menarik. Skrin melengkung ini mempunyai rekaan yang kemas, bersih dan minimalis. Sistem kawalan menu yang digunakan pula mesra pengguna dan lebih masuk akal dari sistem kawalan pelbagai butang yang kami gunakan pada monitor komputer biasa. Terdapat juga pelbagai input bagi membolehkan SE590C dipasang pada 3 sumber input secara serentak. Tiada fungsi Picture In Picture ataupun memaparkan dua input secara sebelah menyebelah.
Kekurangan adalah pada kekuatan pembesar suara. Pada tetapan tertinggi ianya tidak berapa kuat. Ia menembak ke bawah dan ini sedikit sebanyak mengurangkan kekuatan bunyi yang boleh didengari pengguna. Tahap pelarasan skrin ke atas dan ke bawah juga agak kecil. Hanya 12º dongakan ke atas dan 5º ke bawah.
Secara keseluruhan Samsung SE590C ialah sebuah monitor yang baik. Memberikan pelbagai pilihan input dan mempunyai kualiti visual yang cukup cantik. Bagaimana pula dengan skrin melengkung? Adakah ia memberikan dimensi baru kepada pengguna? Pada hemat saya dengan saiz skrin 32″ kesan skrin melengkung tidak berapa kelihatan. Masih terasa seperti gimik untuk melakukan jualan dan bukannya keperluan buat masa ini. Skrin rata 28″ LED yang saya gunakan sekarang sudah memadai. Tetapi sekiranya mempunyai duit lebih saya tidak teragak-agak akan memiliki SE590C kerana rekaannya yang cantik.
PRO dan Kelebihan
- Rekaan menarik, bersih dan minimalis. Tiada butang kawalan pada bahagian hadapan. Kelihatan seperti sebuah televisyen dan bukannya monitor komputer.
- Pelbagai input dan output pada bahagian belakang.
- Kualiti gambar yang baik. Warna hitam yang legap serta penghasilan warna yang cukup cantik.
- Sistem tombol untuk melakukan tetapan mudah digunakan berbanding sistem bazel sesentuh atau
KONTRA dan Kekurangan
- Tiada port USB tambahan.
- Tahap pelarasan sudut monitor adalah terlalu kecil.
- Pembesar suara yang tidak cukup kuat.