Maxis hari ini telah memperkenalkan program terbaru mereka yang dinamakan sebagai Maxis Zerolution, dimana melaluinya mereka ingin memudahkan pengguna bertukar peranti setiap tahun tanpa risaukan kos yang tinggi terlibat untuknya.
Pada hari ini, kesemua syarikat telekomunikasi memerlukan pengguna membayar wang pendahuluan yang tinggi untuk mendapatkan peranti, selain terikat dengan tempoh kontrak selama 24 bulan – yang mana tidak disukai ramai. Ini membuatkan ramai yang berfikir dan sukar untuk berubah ke peranti baru apabila ia diumumkan – apatah lagi dengan dunia gajet yang bergerak dengan amat pantas.
Maxis Zerolution ingin mengubah perkara ini, dan mereka mengatakan pengguna tidak lagi perlu terikat dengan perkara-perkara ini. Melalui program Zerolution, pengguna boleh mendapatkan peranti baru tanpa perlu membayar wang pendahuluan, dan tidak lagi terikat dengan tempoh kontrak selama 24 bulan seperti pelan tradisional lain.
Pelan ini berfungsi dengan tiga langkah mudah sahaja, dimana pengguna hanya perlu memilih pelan pascabayar Maxis yang digemari, memilih telefon, dan seterusnya memulakan langganan.
Maxis mengelakkan pengguna membayar wang pendahuluan yang tinggi dengan membahagikannya untuk tempoh bulanan. Sebagai contoh, untuk Galaxy S6 Edge, pengguna hanya perlu membayar bulanan RM111 untuk peranti dan tidak lagi perlu membayar wang pendahuluan peranti yang tinggi.
Jika anda memilih Galaxy S6 Edge, anda akan diperlukan membayar RM111 setiap bulan, dan bayaran bulanan untuk Maxis OnePlan (sebagai contoh RM98). Jika anda memilih untuk membuat pertukaran peranti setiap tahun, anda akan diperlukan membayar wang tambahan RM30 sebulan, selain anda turut boleh memilih untuk melindungi peranti (insuran peranti) pada langganan RM15 sebulan.
Selepas tempoh setahun, jika anda memilih untuk mengubah peranti, anda hanya perlu membawanya kepada Maxis, dan anda boleh memilih peranti baru dan meneruskan bayaran seperti biasa. Jika ketika anda mengubah peranti, telefon sedia ada anda mengalami kerosakkan atau calar, Maxis akan menilai ia terlebih dahulu sama ada boleh dinaik-taraf atau sebaliknya.
Buat masa ini, empat peranti ditawarkan dibawah pakej Maxis Zerolution ini, iaitu Samsung Galaxy S6 Edge, Galaxy S6, HTC One M9+ dan juga Galaxy A7.
Pengguna yang berminat boleh mendapatkan peranti ini dengan pakej tersebut daripada Maxis bermula hari ini.
- Layari : Maxis Zerolution