HTC O2 ialah nama yang dikatakan bakal digunakan HTC untuk peranti terkini keluarga One. HTC One M9 yang dilancarkan April lalu tidak mendapat sambutan yang hangat dari pengguna dan ini menyebabkan HTC terpaksa mengurangkan jumlah pekerja bagi mengurangkan kerugian. Apa yang berlaku pada peranti HTC One M9 adalah tidak mengejutkan kerana ia menggunakan kamera yang tidak memuaskan. Apabila pengguna mencari sebuah peranti utama, kemampuan kamera harus setanding dengan kemampuan memproses dan kualiti binaan. HTC mungkin pernah mengatakan “Megapixel tidak penting” ketika mula menggunakan kamera Ultrapixel mereka. Tetapi cogan kata ini gagal kerana pengguna masih merasakan Megapixel adalah penting.
Nama HTC O2 dipilih kerana ia menandakan permulaan baru keluarga HTC One. Ia bermaksud One V2, generasi kedua HTC One. Antara ura-ura yang kami dengari tentang peranti ini ialah ia akan menggunakan pemproses terbaru Qualcomm Snapdrgon 820. Pemproses ini seperti yang kami tulis sebelum ini dijangka kembali menggunakan empat teras dan bukannya lapan. Dari segi kemampuan memproses ia adalah lebih baik berbanding Exynos 7420 yang digunakan Samsung Galaxy S6. Ia juga lebih menjimatkan penggunaan bateri dan paling penting sekali tidak mengalami masalah pemanasan melampau seperti Snapdragon 810. Tarikh pelancaran HTC O2 pula dijangka berlaku ketika MWC2016.
Buat masa ini tiada cara untuk mengesahkan ura-ura ini. Kami hanya berharap HTC mempelajari dari kesilapan dan memperbaiki masalah utama peranti mereka iaitu kemampuan kamera yang mengecewakan.